Terengganu lulus RM100,000 beli vaksin LSD

Nur Fazlizai Ali
September 15, 2021 07:21 MYT
Sebanyak 10 ekor lembu dikenal pasti positif penyakit kulit kental (LSD) dan dilupuskan tahun ini. - Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Pencegahan penyakit kulit kental (LSD) di Terengganu akan terus diperkasakan menerusi aktiviti vaksinasi membabitkan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Azman Ibrahim, berkata sebanyak 10 ekor lembu dikenal pasti positif penyakit kulit kental (LSD) dan dilupuskan tahun ini.
Menurut Azman jumlah tersebut adalah antara 60 ekor lembu yang disyaki positif penyakit terbabit setelah ujian klinikal dijalankan.
Penyakit LSD dikesan di negeri itu sejak Mei lepas namun kadar penularannya penyakit berkenaan masih terkawal.
"JPV sudah mempunayi SOP bagaimana untuk menguruskan kes LSD ini di antaranya lembu yang positif akan dikuarantin serta-merta.
"Kemudian proses perawatan akan dibuat dan kalau sekiranya didapati tidak lagi dapat diselamatkan, maka kaedah pelupusan dengan cara penyembelihan di rumah sembelihan Gong Badak akan dilakukan oleh pihak JPV," katanya.
Dalam pada itu Azman berkata, jumlah ternakan lembu yang direkodkan di Terengganu pada tahun 2020 meningkat kepada 85,437 ekor berbanding 79,167 ekor pada 2019 dan 87,783 ekor pada 2018.
Manakala bilangan kerbau yang diternak di negeri itu pula menurun kepada 5,085 ekor pada 2020 berbanding 8,508 ekor pada 2018 dan 8,004 ekor pada 2019.
#penyakit kulit #LSD #vaksin #lembu
;