Terengganu lulus peruntukan RM20,000 baik pulih jalan di kawasan rumah rakit

Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
Oktober 29, 2021 08:15 MYT
Rumah rakit itu terletak kira-kira 20 kilometer daripada Santuari Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir yang menjadi tumpuan pengunjung dari luar Terengganu terutama kaki pancing. - Astro AWANI
DUNGUN: Kerajaan Negeri Terengganu meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi membaik pulih jalan dan tempat letak kenderaan di kawasan rumah rakit di kaki Gunung Bongsu, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata proses membaik pulih tersebut perlu dilakukan secepat mungkin ekoran keadaan yang boleh membahayakan pengguna.
Ariffin berkata rumah rakit itu terletak kira-kira 20 kilometer daripada Santuari Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir yang menjadi tumpuan pengunjung dari luar Terengganu terutama kaki pancing.
"Kita telah meluluskan melalui Pejabat Daerah RM20,000 dan kita telah salur peruntukan itu pada 11 Oktober.
"Itulah permintaan utama mereka di rumah rakit itu," katanya.
Menurut Ariffin, promosi secara meluas akan dijalankan bagi memperkenalkan tempat pelancongan semula jadi baharu di negeri ini.
"kalau ada keperluan Jabatan Pelancongan akan mempromosikan tempat ini dan kita akan bekerjasama dengan Persatuan Rumah Rakit.
"Setakat ini kehadiran pengunjung di tempat berkenaan sangat ramai," katanya.
Astro AWANI pada 20 Oktober lepas menyiarkan keluhan pengusaha rumah rakit yang meminta kerajaan agar tidak meminggirkan destinasi pelancongan berkonsepkan alam semula jadi terutama di kawasan pedalaman.
BACA: Bajet 2022: Ambil kira pembangunan pelancongan alam semula jadi - Pengusaha rumah rakit
Antara yang perlu diberi tumpuan adalah menyediakan pelbagai kemudahan asas untuk menarik lebih ramai pengunjung.
#rumah rakit #peruntukan #Ariffin Deraman #bajet 2022
;