Terengganu lancar COE2023 rancakkan sektor pelancongan
Bernama
Januari 5, 2023 06:45 MYT
Januari 5, 2023 06:45 MYT
KUALA TERENGGANU: Sebanyak 100 acara termasuk 17 program ikonik disenarai dalam Kalendar Acara Tahunan 2023 (COE2023) Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu Ariffin Deraman berkata kerajaan negeri telah menyusun pelbagai program menarik sepanjang tahun ini untuk menggalak serta merancakkan lagi sektor pelancongan negeri.
Beliau berkata penganjuran program berkenaan dijangka dapat menarik kehadiran tiga juta pelancong dari dalam dan luar negeri.
"Antara acara ikonik yang sentiasa mendapat sambutan ialah Terengganu Air Festival, Karnival Beautiful Terengganu, Kenyir Casting Tournament dan banyak lagi yang bertaraf nasional dan antarabangsa.
"Kita akan buka COE2023 dengan penganjuran Karnival Beautiful Terengganu Malaysia yang akan berlangsung di Kemaman pada 23 hingga 26 Feb depan," katanya selepas melancarkan COE2023 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu di sini pada Khamis.
Ariffin berkata tujuan utama COE2023 adalah memastikan setiap program atau acara yang dianjurkan mendapat publisiti awal serta memudahkan pelancong merancang percutian mereka.
Malah setiap program atau acara yang akan dijalankan mengambil kira latar belakang dan keselesaan pelancong supaya mereka akan kembali berkunjung ke Terengganu setelah melalui percutian yang menyenangkan.
"Pada 2022 kita telah mencatat jumlah kehadiran pelancong seramai 2.7 juta orang. Walaupun tahun ini ekonomi dunia dijangka akan berdepan kemelesetan, kita optimis mampu capai sasaran tiga juta dengan memfokuskan kepada pelancongan domestik atau dalam negara," katanya.
Pada majlis pelancaran berkenaan, Ariffin turut menyampaikan insentif wang tunai RM1,200 kepada 43 pengusaha bot penambang dan beca di negeri ini.
Selain itu, sebanyak RM10,000 juga diperuntuk bagi proses penambahbaikan beca supaya tampil lebih moden dan menarik pelancong.
-- BERNAMA