Terengganu lalui proses transformasi pembangunan pesat - Perdana Menteri

Bernama
Jun 4, 2022 16:03 MYT
Perdana Menteri menyempurnakan gimik perasmian penutup Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Kompleks Sukan Negeri Terengganu hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA NERUS: Terengganu kini telah melalui proses transformasi pembangunan yang pesat dengan pelaksanaan pelbagai jenis projek bernilai ribuan juta ringgit, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata industri minyak dan gas terutamanya di Kerteh dan Kemaman, menjadi tunjang kepada ekonomi Terengganu yang bukan sahaja menarik ramai pelabur asing, malah meningkatkan peluang pekerjaan setempat.
"Sejak telaga minyak yang pertama ditemui dan diusahakan di luar persisiran pantai awal tahun 80an, negeri ini melalui proses transformasi pembangunan yang pesat," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Terengganu di Kompleks Sukan Negeri, di sini hari ini.
Menurutnya yang terkini, Terengganu turut menerima limpahan daripada projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer, yang menghubungkan Selangor dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Katanya projek yang dijangka siap akhir tahun 2026 tersebut akan memendekkan masa perjalanan Keluarga Malaysia dari Lembah Klang ke Terengganu daripada tujuh jam kepada empat jam.
"Projek ini juga akan merangsang pertumbuhan ekonomi Terengganu terutamanya dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan, kerana infrastruktur ECRL merangkumi 70 peratus perkhidmatan kargo yang memudahkan pengangkutan bahan binaan merentas negeri," katanya.
Dalam pada itu katanya limpahan hasil pendapatan minyak juga, telah membolehkan Terengganu membangunkan sektor-sektor lain termasuk sektor pelancongan, yang disokong oleh keindahan alam semula jadi, selain populariti variasi makanan tradisi.
Katanya melalui kempen 'Beautiful Terengganu', beliau yakin sasaran menarik kedatangan tiga juta pelancong pada tahun ini dapat direalisasikan, sekaligus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di negeri itu.
Perdana Menteri berkata ia ditambah pula dengan inisiatif kerajaan mewartakan pintu masuk Pelabuhan Silica di Setiu, yang kini menjadi laluan tambahan kemasukan para pelancong luar dalam usaha untuk merancakkan pembangunan di kawasan yang terlibat.
"Keupayaan Terengganu mengekalkan khazanah laut dan kelestarian alam sekitar membolehkan namanya tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR). Tahniah dan syabas saya ucapkan dan semoga usaha ini diteruskan, dalam merancakkan sektor pelancongan supaya Keluarga Malaysia turut menikmati hasil manfaatnya," katanya.
Menyentuh mengenai sektor pekerjaan di negeri itu, Perdana Menteri berkata Kerajaan Negeri Terengganu dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Kementerian Sumber Manusia, telah bekerjasama untuk memperkasakan akses peluang pekerjaan bagi rakyat Terengganu, melalui 38 Pusat Pintar yang menyasarkan 1,000 penempatan pekerjaan.
"Alhamdulillah, kita telah berjaya melepasi sasaran ini dengan 1,351 tawaran pekerjaan sejak ia dilaksanakan pada Disember 2021 sehingga April tahun ini, dengan Perkeso yang berperanan sebagai Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT)," katanya.
Malah katanya pada hari ini, melalui Program Jamin Kerja di Jelajah(AKM) Terengganu, sebanyak 13,431 peluang pekerjaan turut ditawarkan melalui 89 majikan dan ia sekaligus membolehkan Keluarga Malaysia di negeri itu, dipadankan dengan pekerjaan yang sesuai.
Selain itu katanya kerajaan juga cakna tentang kebajikan pekerja yang hilang upaya untuk kembali bekerja dan mereka ditawarkan bantuan alat pemulihan supaya dapat melaksanakan pekerjaan dengan sebaiknya.
Pada majlis tersebut Ismail Sabri turut menyampaikan bantuan sekali beri Yayasan Keluarga Malaysia kepada 10 penerima yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19, bernilai antara RM2,000 hingga RM6,500.
Selain itu seramai 10 ketua isi rumah yang terdiri daripada golongan miskin tegar dan miskin, terpilih yang berdaftar dalam sistem e-Kasih menerima Skim Insurans Keluarga Malaysia, yang merangkumi bantuan segera kepada ahli keluarga atau waris berjumlah RM10,000, sekiranya ketua isi rumah meninggal dunia.
Perdana Menteri turut menyampaikan bantuan segera tunai berjumlah RM10,000 kepada seorang waris yang kematian ketua isi rumah, di samping turut menyampaikan Bantuan Persediaan Yayasan Terengganu kepada lima penerima yang akan melanjutkan pelajaran ke universiti dan sekolah berasrama penuh.
-- BERNAMA
#terengganu #transformasi pembangunan #Perdana Menteri #ismail sabri yaakob
;