Terengganu dilanda banjir gelombang kelima

Hilmi Malik
Januari 3, 2021 23:17 MYT
Situasi hujan lebat sejak dua hari lalu mengakibatkan seramai 138 mangsa di dua daerah berkenaan kembali terjejas pada Ahad. - Gambar fail/BERNAMA
KEMAMAN: Terengganu sekali lagi terpaksa berdepan dengan situasi banjir apabila daerah Dungun dan Kemaman kembali terjejas menerusi gelombang banjir kelima di negeri itu.
Situasi hujan lebat sejak dua hari lalu mengakibatkan seramai 138 mangsa di dua daerah berkenaan kembali terjejas pada Ahad.
Berikutan keadaan itu, sebanyak tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 40 keluarga di kedua-dua daerah tersebut.
Menurut Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, dua PPS telah dibuka di daerah Dungun manakala satu lagi PPS bagi daerah Kemaman.
“Seramai 60 mangsa melibatkan 21 keluarga dipindahkan ke PPS dewan orang ramai Kampung Pasir Raja manakala 32 mangsa membabitkan lapan keluarga ditempatkan di dewan serbaguna Kampung Shukor.
“Di kemaman pula seramai 46 mangsa melibatkan 11 keluarga telah dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Teladas.
“Kesemua PPS itu dibuka sekitar jam 5 dan 6.30 petang Ahad,” katanya.
Terdahulu, banjir gelombang keempat melanda Terengganu sejak 17 Disember lalu pulih sepenuhnya dengan kesemua mangsa banjir dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing pada 23 Disember lalu.
Gelombang keempat banjir di Terengganu menyaksikan lebih 8,000 mangsa terjejas selain Kemaman merekodkan jumlah tertinggi iaitu lebih 7,000 mangsa.
#banjir #PPS #Kemaman #Dungun #banjir terengganu #Pusat Pemindahan Sementara
;