Terengganu dijangka beralih ke Fasa Tiga PPN bulan depan - MB

Nur Fazlizai Ali
Ogos 18, 2021 16:53 MYT
Kadar vaksinasi dua dos di negeri tersebut kini sudah mencapai kira-kira 35 peratus berbanding nilai ambang ditetapkan iaitu 40 peratus. - Gambar hiasan/ Bernama
KUALA TERENGGANU: Terengganu dijangka beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) September ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Beliau berkata, kadar vaksinasi dua dos di negeri tersebut kini sudah mencapai kira-kira 35 peratus berbanding nilai ambang ditetapkan iaitu 40 peratus.
"Untuk Terengganu, penerima satu dos kita sudah capai 60 peratus manakala berdasarkan data dua hari lepas, bagi penerima dua dos kita sudah berada pada 35 peratus.
"Jadi ada kurang lima peratus lagi sebelum Terengganu sampai ke 40 peratus sebagai salah satu syarat mencapai fasa berikutnya," katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2021 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Indikator bagi membolehkan peralihan sesebuah negeri ke Fasa Tiga PPN adalah vaksinasi dua dos perlu mencapai kadar 40 peratus, penggunaan unit rawatan rapi (ICU) di tahap selamat, dan kes harian COVID-19 berada di bawah angka 2,000.
Dalam pada itu beliau berkata kerajaan negeri sentiasa berunding dengan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Kebangsaan supaya Terengganu menerima tambahan jumlah vaksin COVID-19, memandangkan terdapat kes positif melibatkan varian Delta atau varian mutasi berganda dari Indi di negeri ini.
#terengganu #fasa tiga #PPN #vaksinasi #Menteri Besar #Ahmad Samsuri Mokhtar
;