Terengganu catat KDNK RM38.2 bilion pada 2023 - Ketua Perangkawan
Bernama
Julai 3, 2024 23:56 MYT
Julai 3, 2024 23:56 MYT
KUALA TERENGGANU: Terengganu mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM 38.2 bilion pada tahun lepas.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan berkata jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 2.3 peratus berbanding RM37.4 bilion yang direkodkan pada 2022.
"Daripada aspek komposisi ekonomi di Terengganu, sektor perkhidmatan mendominasi ekonomi pada 2023 dengan menyumbang 52 peratus daripada aktiviti ekonomi negeri tersebut.
"Sektor pembuatan merupakan penyumbang kedua terbesar dengan 36.9 peratus; diikuti sektor pertanian 7.5 peratus; sektor pembinaan dan perlombongan serta pengkuarian masing-masing menyumbang tiga dan 0.5 peratus kepada keseluruhan komposisi ekonomi Terengganu," katanya sambil memaklumkan Terengganu mencatatkan KDNK per kapita pada 2023 sebanyak RM31,111.
Mohd Uzir berkata daripada segi prestasi ekonomi sektoral pula, sektor perkhidmatan berkembang 3.1 peratus berbanding tahun sebelumnya, mencatatkan peningkatan nilai ditambah kepada RM19.9 bilion.
Katanya pertumbuhan sektor tersebut terutamanya didorong pertumbuhan dalam subsektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang berkembang 2.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu katanya subsektor perkhidmatan kerajaan pula meningkat 3.8 peratus; sektor pembuatan berkembang marginal 0.2 peratus tahun ke tahun untuk mencatatkan nilai ditambah RM14.1 bilion pada 2023.
"Pertumbuhan marginal ini didorong terutamanya oleh produk petroleum, kimia, getah dan plastik yang menokok 0.3 peratus, khususnya produk kimia," katanya.
Pada masa yang sama katanya sektor pertanian menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, berkembang 7.4 peratus dengan nilai ditambah RM2.9 bilion yang mana pertumbuhan tersebut dipacu terutamanya oleh peningkatan dalam pengeluaran kelapa sawit.
Selain itu, subsektor perikanan turut melonjak 21.3 peratus berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan 11.5 peratus,katanya.
"Sementara itu, sektor pembinaan di Terengganu mencatatkan pertumbuhan 1.6 peratus pada 2023, mencapai nilai ditambah sebanyak RM1.2 bilion.
"Pertumbuhan sektor ini didorong secara signifikan oleh subsektor kejuruteraan awam yang meningkat 25.3 peratus. Begitu juga sektor perlombongan dan pengkuarian di Terengganu yang merekodkan pertumbuhan 5.3 peratus pada 2023 dengan nilai ditambah berjumlah RM207.7 juta," katanya.
-- BERNAMA