Terengganu buka permohonan i-Belia

Bernama
September 16, 2022 10:40 MYT
Wan Sukairi (kanan) bersama timbalannya Hishamuddin Abdul Karim menunjukkan poster bantuan i-Belia pada sidang media di Gong Badak, Kuala Nerus, malam tadi. --fotoBERNAMA
KUALA NERUS: Kerajaan Terengganu akan membuka permohonan bantuan secara 'one-off' atau sekali beri untuk golongan belia dan mahasiswa bermula 18 Sept ini hingga 7 Okt depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Wan Sukairi Wan Abdullah berkata bantuan dikenali sebagai i-Belia itu adalah inisiatif kerajaan negeri untuk membantu anak muda, yang diumumkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Bajet 2022.
Wan Sukairi berkata seramai 135,974 penerima bakal menikmati bantuan tersebut yang dianggarkan berjumlah lebih RM20 juta.
"Terdapat dua kategori bagi pemberian bantuan ini iaitu belia bujang dan mahasiswa. Untuk kategori belia bujang, permohonan turut dibuka kepada golongan perantau yang memenuhi syarat ditetapkan.
"Setiap pemohon yang layak akan menerima bantuan 'one-off' sebanyak RM150 yang akan dibayar secara tunai mulai 30 Okt hingga 30 Nov ini," katanya pada sidang media di sini.
Wan Sukairi berkata antara syarat ditetapkan ialah pemohon merupakan rakyat Terengganu berusia antara 18 hingga 39 tahun dan pengundi berdaftar di negeri ini.
Selain itu, pemohon juga bukan kakitangan kerajaan negeri atau Persekutuan dan memiliki maklumat diri dalam sistem Profil Rakyat Terengganu (PRT20).
"Bagi pemohon kategori belia bujang yang sudah bekerja, jumlah pendapatan bulanan mestilah tidak melebihi RM1,500 manakala yang tidak bekerja, jumlah pendapatan bulanan ibu bapa atau penjaga mestilah tidak melebihi RM2,500.
"Untuk kategori mahasiswa, permohonan hanya terbuka kepada penuntut di institusi awam atau swasta dalam negara sahaja," katanya.
Beliau berkata maklumat dan syarat lebih jelas untuk permohonan itu boleh dilayari di http://ibantuan.terengganu.gov.my.
-- BERNAMA
#bantuan one-off #i-Belia #Wan Sukairi Wan Abdullah #bajet 2022
;