Terengganu benarkan solat Jumaat, solat sunat Aidiladha, ibadah korban dan akikah

Bernama
Julai 1, 2021 14:42 MYT
Jumlah 40 orang jemaah yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat itu tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid dan surau tersebut. - Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Bermula esok, Terengganu membenarkan solat Jumaat di masjid serta surau dengan bilangan jemaah seramai 40 orang sahaja.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Osman Muda berkata, jumlah itu tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid dan surau tersebut.
"Kebenaran ini diberi setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berdasarkan situasi semasa COVID-19 namun mestilah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Begitu juga dengan solat sunat Aidiladha tidak lama lagi, syaratnya sama seperti pelaksanaan solat Jumaat. Kesemua 40 jemaahnya mestilah lelaki, ahli kariah yang bermastautin kecuali individu yang mendapat kebenaran khas dari Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi solat fardhu secara berjemaah di masjid dan surau pula, masih kekal hanya 12 orang dibenarkan.
Selain itu, semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau masih tidak dibenarkan kecuali mendapat kebenaran MAIDAM.
Dalam pada itu, Osman berkata, pelaksanaan ibadah korban dan akikah adalah dibenarkan sama ada di rumah penyembelihan Jabatan Perkhidmatan Veteriner Terengganu (JPV) atau rumah penyembelihan ruminan swasta yang dilesenkan JPV, perkarangan masjid, surau dan di kawasan lapang seperti padang dengan kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.
"Jumlah haiwan korban dihadkan kepada lima ekor haiwan sahaja sehari di sesuatu kawasan kecuali di rumah penyembelihan yang dibenarkan.
"Jumlah petugas hendaklah tidak melebihi 10 orang dan kesihatan mereka memuaskan. Aktiviti korban dan akikah perlu membuat permohonan dengan mengisi borang yang disediakan oleh JHEAT," katanya.
Bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula, solat Jumaat, solat sunat Aidiladha dan pelaksanaan ibadat korban adalah tidak dibenarkan.
Begitu juga dengan mana-mana masjid atau surau yang dikenakan arahan penutupan di bawah Seksyen 18 (1) (d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), sebarang aktiviti adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh penutupan, katanya. - BERNAMA
#terengganu #Solat Jumaat #solat sunat Aidiladha #Ibadah Korban #akikah #40 orang sahaja #Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu #masjid #surau
;