Terengganu belum putuskan status amalan zikir berdiri

Sinar Harian
Julai 25, 2019 16:59 MYT
Rakaman amalan zikir sambil berdiri dengan menggerakkan tubuh badan yang dirakam di surau Kampung Bantal Seberang, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang. (Gambar kecil: Mat Azmi)
Status amalan zikir sambil berdiri di Kampung Bantal Sebarang, Ulu Tembeling yang tular di laman sosial sejak 14 Julai lalu belum diputuskan sama ada tidak bercanggah dengan agama Islam atau berkaitan dengan dengan ajaran sesat.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad berkata, keputusan sama ada amalan itu sah atau menyimpang daripada ajaran agama Islam akan diputuskan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Terengganu.
“Kita kini dalam proses menunggu tarikh untuk membawa lelaki terlibat dalam mengetuai amalan zikir itu untuk bertemu Jawatankuasa Fatwa Terengganu untuk diambil keterangan.
“Jabatan agama tidak boleh putuskan sama ada amalan ini sesat atau tidak, ia akan ditentukan oleh Jabatan Mufti Negeri Terengganu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Katanya, lelaki terbabit yang dikenali sebagai Tok Ki atau Tok Ayah yang berasal dari negeri ini sedia memberikan kerjasama berhubung perkara itu.
“Beliau (pengamal) amalan zikir berdiri memberikan kerjasama yang begitu baik dan telah menyatakan kesediaan untuk hadir pada bila-bila masa untuk bertemu Datuk Mufti (Datuk Dr Zulkifly Muda),” katanya.
Terdahulu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, Maidam telah mengenalpasti dan mengambil keterangan lelaki yang membawa amalan zikir itu dan laporan mengenainya telah dihantar ke Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk siasatan lanjut.
Amalan zikir itu menarik perhatian ramai setelah sebuah rakaman video berdurasi satu minit 12 saat dan 22 saat yang didakwa berlaku di surau Kampung Bantal Seberang, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang dirakam penduduk yang mengikuti aktiviti itu pada 11 Julai lalu.
Rakaman itu memaparkan beberapa jemaah lelaki dan wanita kelihatan seakan sedang berzikir sambil berdiri dan menggoyangkan badan di dalam surau berkenaan.
#ajaran sesat #fatwa #Islam #Jerantut #JHEAT #laman sosial #MAIDAM #Mat Azmi Arshad #mufti #Pahang #siasatan #terengganu #Tok Ayah #Tok Ki #Ulu Tembeling #video #zikir #Zulkifly Muda
;