'Terdengar bunyi dentuman, rupanya ada orang jatuh dari tingkat 14'

Sinar Harian
April 3, 2018 23:53 MYT
Mangsa berusia 21 tahun ditemui oleh penduduk pangsapuri itu selepas terdengar bunyi dentuman dari tingkat bawah kira-kira jam 8.50 malam. - Foto SInar Harian
Seorang gadis ditemui mati, dipercayai terjatuh dari tingkat 14 pangsapuri Templer, Jalan Tun Dr Ismail di sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Superintendan Thiew Hock Poh berkata, mangsa berusia 21 tahun ditemui oleh penduduk pangsapuri itu selepas terdengar bunyi dentuman dari tingkat bawah kira-kira jam 8.50 malam.
Katanya, hasil siasatan awal di tempat kejadian mangsa yang tinggal di Bukit Galane telah datang ke situ dengan niat untuk membunuh diri.
“Sebaik sahaja pasukan polis sampai ke lokasi kita mendapati mangsa berada dalam keadaan tertiarap di tingkat bawah blok A, dipercayai telah terjun dari tingkat 14.
“Terdapat beberapa barang peribadi milik mangsa dan telah disahkan oleh keluarga mereka yang dipanggil sebaik sahaja pasukan kita mengenal pasti warisnya.
“Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk tindakan susulan,” katanya.
Tambahnya, mangsa sebelum ini pernah dirujuk ke Bahagian Psikiatri HTJ Seremban untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, tiada sebarang unsur jenayah didapati dalam kes ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
#bunuh diri #gadis #Hospital Tuanku Jaafar #Jalan Tun Dr Ismail #pangsapuri Templer #tingkat 14
;