Terdapat risiko berlaku tanah runtuh susulan di Genting Highlands
Nursyazwani Saiful Sham
November 6, 2019 19:32 MYT
November 6, 2019 19:32 MYT
Terdapat risiko berlakunya tanah runtuh sekali lagi di beberapa kawasan di Genting Highlands terutamanya di kawasan berlakunya tanah runtuh pada Selasa.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, Yusry Abdullah Sani, kawasan berisiko tersebut adalah di kawasan-kawasan pembinaan.
“Jika kawasan terutamanya di kawasan pembinaan menerima taburan hujan yang berlebihan, terdapat kemungkinan berlakunya tanah runtuh.
“Lebih-lebih lagi jika hujan turun empat jam berterusan. Setakat ini kawasan berisiko itu adalah di Jalan Ion D’Elemen yang mana masih terdapat tiga pembinaan lagi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
Jelasnya, pihak bomba akan terus melakukan pemantauan ketat di kawasan berisiko ini.
“Bomba akan terus melakukan pemantauan terutamanya pada waktu hujan lebat dan kita akan keluar bersama fire engine untuk lakukan kerja menyelamat.
“Pihak kami juga akan melakukan pemantauan terperincin di kawasan tanah runtuh yang berlaku pada Selasa,” katanya.
Setakat ini, pihaknya masih meneruskan kerja-kerja pembersihan susulan kejadian tanah runtuh di laluan menuju kediaman Amber Court.
Menurut Yusri lagi, setakat ini pihak masih belum menerima laporan tanah runtuh yang lain selain kejadian yang berlaku pada Selasa.
Malah, pihaknya turut memberi jaminan sistem saliran di Genting Highlands adalah antara sistem yang terbaik dan boleh mengekang berlakunya banjir kilat.
Yusri turut menasihati orang ramai yang mahu ke pusat peranginan itu untuk lebih berhati-hati terutamanya pada musim hujan ini.
#Amber Court
#banjir kilat
#Genting Highlands
#pemantauan
#sistem saliran
#tanah runtuh
#Yusry Abdullah Sani