'Terdapat ramalan tahun ini paling panas selepas 1998' - Nik Nazmi

Bernama
Mei 2, 2024 16:00 MYT
Nik Nazmi berkata, terdapat juga ramalan mengatakan tahun ini merupakan tahun paling panas selepas 1998. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Cuaca panas susulan fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini dijangka berterusan sehingga Julai depan, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata situasi berkenaan menyaksikan beberapa kawasan terutama di Kelantan, Perlis dan Kedah akan mengalami cuaca lebih panas berbanding negeri lain seperti Selangor dan Kuala Lumpur.
Menurut beliau, terdapat juga ramalan mengatakan tahun ini merupakan tahun paling panas selepas 1998.
"Kali terakhir cuaca yang panas melanda negara ini adalah pada sekitar 1998 di Perlis sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI NRES di Kampung Aril, Melor, di sini hari ini.
Beliau berkata berdasarkan laporan cuaca yang diterima, cuaca panas sudah mula beralih dan hujan akan mula turun dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi.
"Bagaimanapun, keadaan itu (cuaca panas) berkemungkinan berterusan sebulan atau dua bulan lagi dan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) akan memantau perkara ini.
"Selain itu, kita juga akan memantau dan berjaga-jaga tentang jerebu dalam negara dan rentas sempadan kerana kami melihat beberapa kesan kebakaran melibatkan tanah gambut," katanya.
Nik Nazmi berkata kementeriannya sedang bekerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk memantau paras air dan kemungkinan melaksanakan pembenihan awan jika perlu.
Beliau berkata pembenihan awam tidak boleh dilakukan sesuka hati dan perlu mendapatkan panduan dan kerjasama daripada MetMalaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
"Kos untuk melakukan pembenihan awan adalah tinggi dan bergantung kepada faktor cuaca. Oleh itu, saya akan berbincang dengan kerajaan negeri berhubung perkara ini," katanya.
Justeru, Nik Nazmi menyeru semua pelajar sekolah rendah dan menengah untuk minum air secukupnya dan memakai pakaian bersesuaian di sekolah susulan cuaca panas itu.
"Sebelum ini, memang ada terima beberapa kes strok haba melibatkan kanak-kanak dan orang dewasa maka saya minta semua pihak berwaspada dengan cuaca yang terlalu panas," katanya.
-- BERNAMA
#Nik Nazmi #cuaca panas #El Nino #negeri utara
;