Terdapat isu kelewatan kelulusan visa bagi warganegara Malaysia ke Australia - Penny Wong

Alexion Mairin
Jun 30, 2022 16:30 MYT
Penny Wong mengadakan tinjauan mesra di sekitar kawasan Luyang, Kota Kinabalu pada Khamis. - Bernama
KOTA KINABALU: Australia mengakui terdapat isu kelewatan mendapatkan kelulusan visa bagi warganegara Malaysia memasuki negara tersebut.
Menteri Luar Australia, Penny Wong berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mengatasi masalah berkenaan bagi memudahkan perjalanan rakyat Malaysia ke Australia selepas ini.
"Ya, itu memang dibangkitkan kepada saya oleh rakyat Malaysia. Saya faham ada banyak backlog yang menyebabkan kelewatan untuk pelancong yang mahu datang ke Australia.
"Suruhanjaya Tinggi beberapa hari lepas telah bekerja keras untuk menyelesaikan masalah backlog tersebut," jelas beliau.
Wong berkata demikian selepas mengadakan tinjauan mesra di sekitar kawasan Foh Sang, Kota Kinabalu pada Khamis.
Wanita kelahiran Kota Kinabalu berkenaan sebelum itu bersarapan dengan keluarganya di salah sebuah restoran selain mengunjungi semula sekolahnya di Sekolah Antarabangsa Kinabalu.
Terdahulu, Wong berada di Malaysia sempena rangka lawatan rasmi selama tiga hari bermula Rabu.
Dalam pada itu, ditanya peranan Australia dalam memastikan keselamatan di Laut China Selatan, ini jawapan Wong:
"Perkara pertama adalah undang-undang antarabangsa. Kita ada Undang-Undang Konvensional di lautan dan ini tidak hanya kepada negara tertentu sebaliknya semua negara yang berada di rantau ini.
"Transit perdagangan di Laut China Selatan adalah baik dan amat penting untuk ada undang-undang antarabangsa dan peranan itu akan diambil Australia dan negara-negara lain di rantau ini," katanya.
#Penny Wong #Australia #kelewatan visa #rakyat Malaysia
;