Tercekik biji rambutan, warga emas maut sesak nafas
Aida Aziz
Julai 15, 2024 04:15 MYT
Julai 15, 2024 04:15 MYT
GERIK: Seorang wanita warga emas maut setelah sesak nafas dipercayai akibat tercekik biji buah rambutan di rumahnya dekat Felda Lawin Utara, di sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada Ahad malam.
"Kira-kira jam 8.30 malam, pihak polis dimaklumkan berkaitan kematian seorang wanita berusia 72 tahun di Klinik Kesihatan Lawin.
"Siasatan awal dijalankan di klinik tersebut dan mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang wujud pada tubuh mangsa," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Zulkifli berkata, terdahulu, anak mangsa iaitu wanita berusia 46 tahun memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam ketika mangsa berada di beranda depan rumah.
"Semasa mangsa hendak dibawa masuk ke dalam rumah oleh anaknya, secara tiba-tiba dia sesak nafas dan terus dibawa ke Kinik Kesihatan Lawin.
"Mangsa diperiksa dan didapati sesuatu terlekat di bahagian kerongkongnya yang disyaki biji buah rambutan," katanya.
Menurutnya, mangsa kemudiannya diberikan bantuan pernafasan oleh pegawai perubatan, namun disahkan meninggal dunia.
Zulkifli berkata, bedah siasat dijalankan dan Bahagian Forensik Hospital Daerah Gerik mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan asphyxia (sesak nafas).
Sehubungan itu, katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan jenazah diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.