Terbit berita palsu vaksin COVID-19, doktor didenda RM5,000
Adie Sufian Zulkefli
Jun 23, 2021 16:56 MYT
Jun 23, 2021 16:56 MYT
KANGAR: Seorang doktor didenda RM5,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mengadakan penerbitan yang mengandungi berita tidak benar mengenai vaksin Sinovac pada April lalu.
Jamnul Azhar Mulkan, 53, yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Musyiri Peet.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook melalui akaun Facebook UiDM Polimas dan menggunakan nama profil 'UiDM Polimas' dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam mengadakan penerbitan yang mengandungi berita tidak benar melalui video ceramahnya.
Dia didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Klinik Kesihatan Beseri, Padang Besar jam 8.10 pagi 20 April lalu.
Tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 di mana sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, tertuduh juga boleh didenda tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Pendakwaan dilakukan oleh Pengarah Pendakwaan Perlis, Mohd Nordin Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.
Mohd Khairul dalam rayuan mengurangkan hukuman, berharap agar mahkamah dapat memberikan hukuman setimpal berdasarkan pengakuan bersalah anak guamnya yang menjimat masa dan kos perbicaraan di mahkamah.
Selain itu, katanya tertuduh juga sudah berkahwin dan mempunyai lapan anak berusia antara 15 hingga 30 dengan enam orang masih belajar termasuk di institut pengajian tinggi.
Katanya lagi, tertuduh adalah lulusan perubatan universiti di Mesir dan walaupun mempunyai sebuah klinik di Pendang, dia tidak dapat menguruskan klinik itu sepenuh masa disebabkan faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.
Beliau berkata, anak guamnya itu juga bukan seorang individu antivaksin kerana sudahpun menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer pada 21 April untuk dos pertama dan 17 Mei bagi dos kedua.
Sementara itu, Mohd Nordin dalam hujahan balasnya pula mahu mahkamah melihat perbuatan tertuduh yang mampu menimbulkan salah faham masyarakat dalam usaha kerajaan memberikan vaksin kepada rakyat.
Perbuatan tertuduh juga mampu merencatkan usaha kerajaan untuk mendapatkan imuniti kelompok dalam kalangan masyarakat berikutan ceramahnya itu tular sehingga menimbulkan kekeliruan.