Terbeban kos operasi, PeSAWAH gesa Kerajaan naikkan subsidi, harga padi

Rahimah Abdullah
Disember 8, 2022 17:55 MYT
PeSAWAH turut menggesa Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia dan Jabatan Pertanian melakukan Penyelidikan dan Pembangunan bagi memastikan peningkatan hasil tanaman padi petani. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menggesa Kerajaan menambah subsidi padi atau menaikkan harga tanaman utama negara itu susulan peningkatan kos racun dan sebagainya.
Pengerusinya, Mohd Fuad Yaacob berkata, pemberian subsidi sedia ada perlu dikaji semula bagi meringankan beban petani dan dalam masa sama akan dapat menjamin bekalan makanan negara.
"Saya harap bila kerajaan nak buat satu dasar baharu untuk subsidi dan sebagainya kena tengok juga dari segi bantuan ini, yang menyedutkan kembali keuntungan pesawah.
"Dengan kos yang ada sekarang ini, sepatutnya subsidi ditambah atau harga padi dinaikkan sebab kos racun, dan segalanya semakin meningkat.

[LANGSUNG] Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Mohd Fuad Yaacob berkenaan cari menyelesaikan masalah pesawah.#AWANInews #PilihanMalaysia #PantauKerajaanBaharu https://t.co/mdyT7SP9TY

— Astro AWANI (@501Awani) December 8, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Racun pun kosnya naik 40 ke 100 peratus harganya. Jadi kalau tidak ada bantuan kerajaan, bagaimana petani nak usahakan operasi kerja sawah, sedangkan Kerajaan nak rakyat Malaysia beli (beras) harga murah, adakah kami kena tanggung segala kos? Jadi bantuan kerajaan diperlukan," katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.
BACA: Pesawah tuntut kerajaan wujudkan semula LPN
Dalam pada itu, PeSAWAH turut menggesa Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Pertanian melakukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bagi memastikan peningkatan hasil tanaman padi petani.
"Dengan keluasan penanaman padi di seluruh negara tidak luas, saya cadangkan MARDI dan Jabatan Pertanian buat R&D yang baharu supaya benih setangkai padi itu boleh keluarkan hasil 500 ke 600 biji sebab setangkai benih sekarang ini hanya boleh keluarkan 200 biji atau 180 biji sahaja," ujarnya.
Kata beliau lagi, usaha meningkatkan hasil padi itu sekali gus akan dapat menambahkan pendapatan petani dan dalam masa sama meningkatkan bekalan beras negara.
Selain itu katanya, harga baja dan racun juga perlu dikawal Kerajaan berikutan kenaikannya yang mendadak.
"Justeru, Kerajaan perlu mendapat pandangan dengan pemegang taruh. Kamilah pemain sebenarnya di lokaliti, bukan lagi kami diarahkan buat itu ini," tambahnya.
#pesawah #Mohd Fuad Yaacob #Padi #subsidi
;