Terbalik jadinya, agungkan 'mat rempit', salahkan polis pula - Ayob Khan
Ernalisa Othman
Mei 25, 2020 13:54 MYT
Mei 25, 2020 13:54 MYT
Polis Johor meminta agar masyarakat tidak mengagungkan budaya ‘mat rempit’ sehingga menyalahkan polis yang bertugas membanteras kegiatan lumba haram di negeri itu.
Sebaliknya, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, orang awam perlu menghargai pengorbanan pegawai mahupun anggota yang bertungkus-lumus memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ketidakpuasan segelintir netizen terhadap polis Johor ketika mengiringi ‘mat rempit’ yang ditahan sambil memasang takbir raya pada pembesar suara kepada mereka.
“Bagi saya, masyarakat perlu faham, sepatutnya masyarakat mengkritik aksi ‘mat rempit’ pada malam raya. Patutnya malam raya mereka duduk rumah dengar takbir raya bukan merempit.
“Jadi kita harap masyarakat jangan memberi komen 'positif' atau sokong tindakan ‘mat rempit’, polis pula disalahkan. Terbalik jadinya,” katanya.
Video yang viral pada Ahad berdurasi seminit setengah itu memaparkan beberapa ‘mat rempit’ menyorong motosikal selepas mereka ditahan.
Katanya lagi, polis akan meneruskan operasi membanteras kegiatan lumba haram yang semakin menjadi-jadi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
#Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay
#haram
#keselamatan
#operasi
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#PKPB
#polis
#polis johor
#rempit
#rumah
#takbir raya
#video
#viral