Terbabit aktiviti kejut sahur tidak patuh SOP, lelaki didenda RM20,000
Petrus Bernard
Julai 12, 2021 19:10 MYT
Julai 12, 2021 19:10 MYT
TAWAU: Mahkamah Tinggi di sini, pada Isnin menjatuhkan hukuman denda RM20,000 terhadap seorang lelaki kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan melakukan aktiviti kejut sahur, Ramadan lalu.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Amir Shah Amir Hassan, membuat keputusan itu selepas Jobby Basri, 30, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Tertuduh didakwa melakukan aktiviti kejut sahur itu sehingga menyebabkan kehadiran ramai orang dan menyukarkan penjarakan fizikal dilakukan di hadapan bangunan Tinagat Plaza, Batu 2 Jalan Apas di sini, padajam 3.40 pagi, 12 Mei lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan dan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021 dan boleh dihukum di bawah peraturan 17(1) peraturan yang sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hurman Hussain, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu pada Mei lalu, polis menyiasat satu video yang tular di media sosial, menyaksikan lebih 100 individu terdiri daripada remaja dan kanak-kanak berhimpun sambil berarak untuk mengejutkan penduduk bersahur di Kampung Baru Batu 2, Jalan Apas, Tawau.
Berdasarkan video tersebut, kesemua individu tersebut gagal melakukan penjarakan sosial selain sebahagiannya tidak memakai pelitup muka.