Terbabas elak kon, dua maut rempuh jengkaut

Sinar Harian
Ogos 14, 2024 09:35 MYT
Keadaan kereta Proton Saga dinaiki mangsa. - Foto Sinar Harian
PORT DICKSON: Dua maut manakala empat cedera selepas kereta Proton Saga dinaiki mereka merempuh jengkaut yang sedang membuat kerja-kerja pemasangan kabel di lampu isyarat Kampung Gelam di sini pada Rabu.
Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, mangsa yang maut iaitu pemandu lelaki berusia 24 tahun dan remaja perempuan berusia 18 tahun yang merupakan pelajar kolej.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, sisatan awal mendapati, kenderaan berkenaan dari arah Port Dickson menghala ke Seremban.
"Namun apabila sampai di tempat kejadian, kereta dinaiki telah terbabas ketika mengelak kon lalu merempuh sebuah jengkaut yang sedang menggali lubang untuk pemasangan kabel bawah tanah.
"Kejadian itu mengakibatkan pemandu dan penumpang bahagian hadapan maut manakala empat lagi penumpang berusia antara 16 hingga 19 tahun cedera," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, tiga daripada mereka merupakan pelajar kolej manakala seorang pelajar sekolah.
Tambahnya, kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan.
"Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan boleh berhubung dengan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Port Dickson di talian 06-6472222," katanya. - Sinar Harian
#kereta rempuh jengkaut #pelajar kolej maut #Port Dickson #kerja-kerja pemasangan kabel
;