Terbabas dalam longkang selepas 'kantoi' berasmara dalam kereta

Sinar Harian
Mac 29, 2018 09:54 MYT
Pasangan berusia 23 dan 20 tahun itu turut dikenakan denda RM3,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Syariah Kuala Terengganu hari ini.
Cubaan sepasang kekasih melarikan diri selepas kantoi berasmara dalam kereta apabila kenderaan dipandu terbabas ke dalam longkang sebelum ditahan anggota Penguatkuasa Syariah Kuala Terengganu.
Bukan itu sahaja, pasangan berusia 23 dan 20 tahun itu turut dikenakan denda RM3,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Syariah Kuala Terengganu, semalam.
Hakim Syarie membuat keputusan selepas pasangan yang bekerja sebagai pembantu kedai makan mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di kawasan perumahan di Tok Jembal, Kuala Nerus, kira-kira jam 10.15 malam, pada 26 November lalu.
Mereka mengaku salah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.
Berdasarkan fakta kes, semasa rondaan dijalankan dilokasi, anggota terserempak sebuah kereta mencurigakan yang diparkir di kawasan gelap serta sunyi di belakang bangunan baru siap dan tidak berpenghuni.
Keadaan cermin kereta jenis Perodua Viva berwarna putih sedikit gelap, didapati semua pintu tertutup rapat manakala enjin dan penghawa dingin hidup.
Sejurus itu, anggota bertindak menghampiri pintu sebelah pemandu dan menyuluh dengan lampu sebelum ternampak seorang lelaki yang memakai baju t-shirt duduk di atas seorang perempuan di bahagian kerusi penumpang hadapan.
Anggota terus mengetuk pintu cermin dan memperkenalkan diri sebelum cuba membuka pintu, tetapi berkunci.
Lelaki itu seterusnya berpindah ke tempat duduk pemandu dan cuba melarikan diri namun gagal kerana terbabas ke dalam longkang sebelum kedua-duanya ditangkap untuk tindakan selanjutnya.
Siasatan mendapati mereka tiada hubungan suami isteri.
Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Nurul Hajja Mustafa.
#berasmara #kantoi #kereta #Kuala Nerus #Kuala Terengganu #longkang #mahkamah syariah #Penguatkuasa Syariah #terbabas
;