TERAS akan dapat sokongan rakyat - Mawan

Bernama
Mei 17, 2014 23:45 MYT
William Mawan - Gambar Fail
Bakal presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) Tan Sri William Mawan Ikom yakin parti politik baharu itu akan mendapat sokongan rakyat Sarawak.
"TERAS adalah parti politik baharu yang menyokong sepenuhnya perjuangan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mewujudkan kestabilan, kemajuan dan kemakmuran di negeri ini.
"Lagipun , ia juga sebuah parti yang dianggotai wakil rakyat BN," katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Sibu di sini pada Sabtu.
Beliau berkata oleh itu, para pemimpin TERAS tidak perlu bersusah payah untuk memperkenalkannya kepada rakyat.
"Kami dalam TERAS juga mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang dalam Kabinet negeri. Rakyat mengenali kami.
"Malah, seorang anggota pembangkang seperti George Lagong, bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus daripada Parti Pekerja Sarawak (SWP), turut menyertai kami," katanya.
Khamis lepas, Mawan, menteri kanan yang mengetuai Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai presiden parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) untuk menerajui TERAS.
Langkah beliau diikuti seorang lagi menteri kanan negeri iaitu Datuk Sri Wong Soon Koh (Pembangunan Masyarakat dan Kerajaan Tempatan), yang juga ADUN Bawang Assan dan bekas pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Sibu.
Mereka disertai lapan pemimpin lain yang terdiri daripada ADUN dan seorang anggota Parlimen daripada SPDP dan SUPP.
Mawan berkata setakat ini 13 cawangan SPDP di bahagian tengah negeri ini dibubarkan dan menyertai TERAS.
#Sarawak #Teras #william mawan