Terapi bantuan kuda bantu perkembangan kanak-kanak autistik
Bernama
Januari 19, 2024 06:45 MYT
Januari 19, 2024 06:45 MYT
YAN: Selepas tiga tahun menjalani terapi bantuan kuda (equine-assisted therapy - EAT), seorang kanak-kanak berkeperluan khas menunjukkan perkembangan positif dari segi komunikasi dan tingkat lakunya.
Bapa kanak-kanak itu, Ali Imran Amir, 41, berkata anaknya Ali Uwais Abqari, 11, yang juga kanak-kanak autistik, kini sudah boleh mendengar arahan dan memberi tindak balas selain mampu untuk fokus ketika berinteraksi dengan rakan-rakannya.
"Anak saya ni ada beberapa ketakutan, dulu dia takut dengan binatang-binatang besar seperti rusa tapi sekarang tidak lagi dan satu benda yang saya kagum, dulu dia susah terima arahan, sekarang nampak dia boleh menerima arahan.
"Cara bercakap dan komunikasi dengan kawan juga nampak perubahan, dari awal dulu dia tidak bercakap dan banyak berkhayal, sekarang bila saya bercakap dia boleh terima dan dia faham," katanya ketika ditemui Bernama di Equine Resort, di sini, pada Jumaat.
Menurut Ali Imran yang bertugas sebagai pesuruhjaya sumpah di Pendang, anaknya dikesan mempunyai ciri-ciri autisme pada usia tiga tahun dan sejak itu dia dan isteri berusaha mendapatkan terapi untuk cahaya mata mereka itu.
Beliau kemudian dipertemukan dengan seorang pengurus kandang dan pelatih kuda di Equine Resort dan berbincang mengenai terapi untuk anaknya menerusi EAT.
Ali Imran seterusnya bersetuju mencuba rawatan itu untuk anaknya memandangkan khidmat tersebut tidak banyak disediakan di negara ini, khususnya dalam membantu kanak-kanak berkeperluan khas termasuk autisme.
"Alhamdulillah selepas beberapa tahun saya nampak anak saya punya kemajuan dan kita teruskan lagi terapi di sini selepas tengok perkembangannya sangat-sangat positif," katanya.
Seorang lagi waris kanak-kanak autisme, Sakinah Isa, 33, berkata hari ini kali pertama beliau mencuba terapi EAT di Equine Resort bagi anaknya Hifzillah Mujaddidi Nasrullah Mujaddidi, 7, yang lambat bercakap dan mempunyai masalah pembelajaran.
"Saya baharu saja tahu tempat ini ada sediakan terapi untuk kanak-kanak berkeperluan khas, jadi saya cuba dan tengoklah nanti perkembangannya macam mana, kita ikhtiar apa yang boleh," katanya yang bekerja di sebuah syarikat swasta.
Sementara itu, pengurus kandang dan jurulatih kuda di Equine Resort Mohammad Syamsul Ali berkata setakat ini tiga kanak-kanak berkeperluan khas sedang menerima terapi EAT di situ.
Katanya, setiap kanak-kanak tersebut mempunyai masalah tersendiri antaranya fizikal yang lemah, masalah komunikasi dan sukar untuk memberikan tumpuan.
"Jadi kita latih mereka berinteraksi dengan kuda, bercakap dengan kuda dan memberi arahan kepada kuda. Kita cuba latih sebagai penunggang juga walaupun dia kanak-kanak istimewa. Ada peningkatan dari segi komunikasi dan keyakinan mereka selepas diberikan terapi ini," katanya. - BERNAMA