Terap sifat empati, perikemanusiaan beri khidmat kepada masyarakat - Nik Ezanee
Bernama
Mei 13, 2021 09:43 MYT
Mei 13, 2021 09:43 MYT
KUALA LUMPUR: Seseorang pegawai dan anggota polis harus menerapkan sifat empati dan berperikemanusiaan dalam memberikan khidmat kepada masyarakat selain menguatkuatkuasakan undang-undang, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Nik Ezanee Mohd Faisal.
Beliau berkata konsep seperti humanizing the badge perlu ada dalam setiap pegawai dan anggota polis yang berkhidmat sebagai pasukan keselamatan negara.
"Saya menerapkan konsep sedemikian (menyantuni masyarakat) sewaktu saya menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya sebelum ini.
"Dengan cara ini, banyak kejayaan yang dilakarkan polis menerusi pelbagai maklumat (kes jenayah) yang diberi orang awam kepada polis antaranya rampasan dadah berkilo-kilo, bernilai jutaan ringgit, tangkapan operasi dan lain-lain lagi," katanya semasa menjadi tetamu program Ruang Bicara 'Kita Jaga Syawal' di Bernama TV, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai usaha polis untuk meningkatkan imej polis kepada masyarakat.
Nik Ezanee berkata apabila operasi dan kejayaan ini diperoleh, ia akan menaikkan imej polis dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada pasukan itu.
"Dalam menjalankan tugas, sebagai polis kita perlu memiliki sifat kemanusiaan dan kebaikan yang boleh dibuat seperti menolong orang tua melintas jalan, tolong mengangkat barang dan tukar tayar kereta. Ia memang bukan tugas polis tetapi tidak ada salahnya kerana kita tambah nilai dengan berbuat kebaikan," katanya.
Dalam pada itu, Nik Ezanee menjelaskan pihak polis tidak pernah sesekali tersinggung dengan sebarang makian oleh sesetengah pihak.
"Saya mengakui diri ini tidak sempurna dan pihak polis telah bersumpah untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
"Kami tidak pernah menyerah diri daripada membaiki kelemahan. Kalau kami menyerah, maknanya kami tidak bertanggungjawab. Setiap kelemahan kami akan perbaiki dari semasa ke semasa.
"Kami tetap di sini membantu (malah) ada komen yang (dikatakan) polis tidak benarkan (rentas negeri) dan ada yang (dikenakan tindakan). Banyak kali telah diberitahu, kalau ada pelanggaran prosedur operasi standard, kami akan keluarkan kompaun," katanya.
-- BERNAMA
#undang-undang
#keselamatan
#operasi
#rakyat
#rentas negeri
#siasatan
#polis
#jenayah
#Dadah
#kereta
#humanizing the badge
#empati
#perikemanusiaan
#Nik Ezanee Mohd Faisal
#imej polis