Terap nilai murni dalam kandungan karya - PM Najib
Harits Asyraf Hasnan
Jun 18, 2017 21:50 MYT
Jun 18, 2017 21:50 MYT
Karyawan, seniman, penggiat seni dan penyiar tanah air perlu memainkan peranan dalam menanam nilai-nilai murni dalam masyarakat ke arah membentuk masyarakat Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan usaha itu penting dalam membentuk tamadun bernilai tinggi di Malaysia.
"Sehari dua ini, masalah buli dan gangsterisme dalam masyarakat kita menjadi perhatian umum masyarakat kita.
"Saya berharap anda boleh memainkan peranan masing-masing untuk menanamkan nilai-nilai kemanusiaan yang lebih mulia dikalangan masyarakat kita.
"Bukan sahaja untuk membangunkan lebuh raya, kereta api laju, bangunan pencakar langit dan sebagainya. Tetapi kita hendak membangunkan sebuah tamadun yang tinggi nilai murninya," katanya kepada ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama Seniman, Karyawan, Sasterawan dan Penyiar di Seri Perdana hari ini.
Kecewa dengan kejadian buli yang menjadi topik hangat di peringkat nasional, Najib akui pelbagai medium saluran kandungan perlu mengandungi nilai murni.
"Saya berharap di sini peranan penggiat-penggiat seni dan juga anda yang bergerak dalam bidang kreatif ini boleh membantu kita supaya asas masyarakat dan tamadun kita itu boleh kita letakkan dengan pengisian-pengisian yang lebih mulia dalam kalangan masyarakat kita.
"Mesej ini boleh diterapkan dalam pelbagai penghasilan yang dapat dilakukan oleh anda," katanya.
Hadir pada majlis tersebut lebih 2,000 penggiat seni tanah air termasuk golongan veteran.
Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan kematian pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnian dan seorang remaja T. Nhaveen akibat didera dan dipukul dengan kejam.