Terap elemen amanah, kepercayaan dalam kerja berpasukan - PM
Bernama
Februari 7, 2023 10:00 MYT
Februari 7, 2023 10:00 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Jemaah Menteri dan warga perkhidmatan awam bekerja sebagai satu pasukan yang menerapkan elemen amanah dan kepercayaan dalam budaya kerja.
Pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Februari 2023 di sini hari ini, Anwar berkata elemen berkenaan perlu diterapkan dalam usaha membebaskan segala ketelanjuran yang pernah berlaku dan mungkin berlaku.
Anwar mengakui terdapat kesungguhan dalam kerja berpasukan yang ditunjukkan Jemaah Menteri dan penjawat awam sejak beberapa bulan ini seperti dalam perihal pengurusan pekerja asing serta banjir dan penghantaran segera Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Turkiye.
"Ada keinginan baik daripada pimpinan atau penjawat awam untuk mengorak langkah dengan pantas dan bertanggungjawab," katanya pada perhimpunan yang kali ini diadakan di tempat tertutup iaitu Dewan De' Seri Endon, Puspanitapuri berbanding kebiasaan di Dataran Perdana.
Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.