Teraju, MARA disaran bantu bangunkan tanah rizab Melayu

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Oktober 13, 2016 00:58 MYT
ABDUL AZIZ: Dalam Akta MARA, ada peruntukan menyatakan MARA adalah juga Melayu di sisi undang-undang, bermakna MARA boleh ambil alih tanah rizab Melayu dan bangunkan untuk orang Melayu. - fotoBERNAMA / Fail
Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) boleh memainkan peranan utama jika jawatankuasa khas syor dan pantau tanah rizab Melayu ditubuhkan.
Presiden Pertubuhan Pemikir Agenda Watan Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tersebut boleh menjalankan tugas untuk membangunkan tanah rizab Melayu.
Beliau berkata demikian susulan cadangan penubuhan jawatankuasa khas syor dan pantau tanah rizab Melayu yang dibangkitkannya minggu lalu.
Menurutnya, tugas membangun dan membantu orang Melayu telah jelas dalam undang-undang tubuh dua syarikat terbabit, terutamanya MARA.
Sementara itu, katanya, Teraju boleh bertindak mengetuai jawatankuasa itu.
"Kalau boleh, ambil Teraju untuk mengetuai badan ini. Satu lagi, MARA. Akta MARA tahun 1966 adalah sebagai ganti kepada akta RIDA yang dibuat British.
"Dan dalam Akta MARA itu, ada peruntukan menyatakan MARA adalah juga Melayu di sisi undang-undang, bermakna MARA boleh ambil alih tanah rizab Melayu dan bangunkan untuk orang Melayu," ujarnya yang ditemubual pada Rabu.
Minggu lalu, Abdul Aziz telah membangkitkan keperluan penubuhan segera jawatankuasa khas oleh kerajaan negeri dan pusat itu bagi memastikan tanah rizab Melayu tidak disalahgunakan.
Menurutnya, penerokaan tanah rizab Melayu tidak sepatutnya berlaku kerana tanah itu tidak boleh dibangunkan oleh bukan Melayu dan perkara itu turut ditekankan oleh Majlis Raja-Raja Melayu dalam wasiat mereka sebelum negara mencapai kemerdekaan.
Sehubungan itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa itu bagi mengkaji secara menyeluruh mengenai pengambilan dan ganti semula tanah rizab Melayu di seluruh negara.
Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata, kajian menyeluruh itu perlu dilakukan memandangkan sehingga kini, tiada pendedahan secara rasmi yang terbaharu dibuat kerajaan berhubung isu berkenaan.
Mengulas saranan itu, Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pada Selasa, perancangan menubuhkan jawatankuasa tersebut yang disifatkannya berniat murni, harus disokong.
Ibrahim pada sidang medianya Jumaat lalu turut menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa tersebut bagi menyelamatkan tanah rizab Melayu yang hanya tinggal 1.7 juta hektar.
#jawatankuasa khas pantau #MARA #Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman #tanah rizab Melayu #Teraju