Teraju bantu usahawan bumiputera dalam pelbagai sektor - Mustapa

Bernama
Februari 1, 2020 05:34 MYT
Pengerusi TERAJU Datuk Seri Mustapa Mohamed (empat, kanan) beramah mesra dengan para peserta seminar selepas perasmian Program Kemudi di Dewan Pejabat Pembangunan Wanita Kelantan di Pengkalan Chepa pada Sabtu. - Foto BERNAMA
Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) akan membantu usahawan bumiputera dalam pelbagai sektor yang diceburi mereka, kata Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Mustapa, yang dilantik sebagai pengerusi agensi itu pada 15 Jan lepas berkata beliau kini sedang melihat secara keseluruhan mengenai peranan yang dimainkan oleh Teraju ketika ini.
"Saya baru dua, tiga minggu masuk pejabat Teraju dan ada empat, lima program besar (yang boleh dilakukan untuk bantu usahawan bumiputera).
"Isu utama ketika ini adalah peruntukan (kepada Teraju) memandangkan langkah berjimat cermat yang dilakukan oleh kerajaan namun Teraju masih mempunyai geran dan pinjaman (yang boleh ditawarkan kepada usahawan)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Usahawan Kemudi yang dianjurkan oleh Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) dengan kerjasama Kelab Usahawan Wanita Kelantan (Kuwak) di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Presiden Kemudi Azran Fitri Rahim, Pengerusi Kuwak Nor Ariati Salleh, Timbalan Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Kelantan Kamarul Zaman Mohamad dan Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Kelantan Hasmaryanti Kamaruzzaman.
Program Usahawan Kemudi memberi peluang kepada bekas wartawan menimba ilmu dalam bidang keusahawanan berikutan pengecilan kakitangan dan penutupan operasi media cetak yang dilaksanakan oleh beberapa syarikat berkaitan media sebelum ini.
Pada program Sabtu, peserta didedahkan dengan teknik membuat jualan dalam talian menggunakan beberapa platform antaranya membuka akaun perniagaan di Shopee dan pemasaran dalam talian menggunakan Facebook Ads.
Sementara itu, Azran Fitri berkata penganjuran kursus itu dilakukan bagi membantu bekas pengamal media di negeri ini yang terjejas dengan pengecilan dan penutupan operasi syarikat yang berlaku baru-baru ini.
"Kami fikirkan satu kaedah untuk menjana pendapatan sebab nak cari kerja ketika ini amat sukar. Kalau dapat kerja pun mungkin pendapatan tak sama dan mereka memerlukan pendapatan tambahan.
"Justeru, kursus hari ini memberi fokus dalam perniagaan online kerana ia boleh menerobos lebih banyak tempat sekali gus meningkatkan jualan," katanya.
-- BERNAMA
#Mustapa Mohamed #Teraju #Unit Peneraju Agenda Bumiputera #usahawan bumiputera
;