Teo bidas kenyataan Wan Saiful minta Fahmi letak jawatan

Bernama
Julai 23, 2023 21:52 MYT
Teo menyifatkan desakan Wan Saiful sebagai tindakan tidak berfikiran panjang, berkata kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor tersebut adalah tidak logik. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Teo Nie Ching hari ini membidas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mendesak Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil melepaskan jawatan susulan aksi biadab kumpulan The 1975 di hadapan peminat di Festival Good Vibes 2023.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital itu, yang menyifatkan desakan Wan Saiful sebagai tindakan tidak berfikiran panjang, berkata kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor tersebut adalah tidak logik.
"Kumpulan The 1975 dengan jelas telah melanggar perjanjian mereka dengan penganjur dan melanggar undang-undang negara.
"Kalau disebabkan itu Menteri perlu letak jawatan, adakah Wan Saiful akan suruh Menteri Pengangkutan letak jawatan jika orang melanggar peraturan had laju, lalu lintas?" katanya dalam catatan di laman Facebook.
Semalam, Fahmi mengarahkan penganjuran Festival Good Vibes 2023, yang dijadual berlangsung sehingga hari ini, dibatalkan serta-merta dan berkata pendirian Kerajaan Perpaduan adalah jelas serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh dan melanggar undang-undang Malaysia.
Kementerian Komunikasi dan Digital, melalui Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL), telah membuat keputusan untuk menyenarai hitam kumpulan muzik dari British itu daripada membuat persembahan di negara ini.
-- BERNAMA
#Facebook #Kerajaan Perpaduan #Parlimen #penggambaran filem
;