Tentera upahan: PDRM masih tunggu maklum balas Kedutaan Rusia - KPN

Astro Awani
November 1, 2024 17:00 MYT
PDRM masih menunggu maklum balas daripada pihak Kedutaan Rusia berhubung dakwaan tersebut. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum dapat mengesahkan keberadaan lelaki warga tempatan yang didakwa terlibat sebagai tentera upahan asing dalam konflik Ukraine dan Rusia.

Ringkasan AI
  • PDRM belum dapat mengesahkan keberadaan lelaki Malaysia yang didakwa terlibat sebagai tentera upahan dalam konflik Ukraine dan Rusia, dan masih menunggu maklum balas dari Kedutaan Rusia.
  • Dokumen peribadi lelaki tersebut mungkin disalah guna, dan isu ini mula tular di media sosial Rusia sebelum merebak ke Malaysia.
  • Gambar MyKad dan lesen memandu lelaki Malaysia ditemukan di medan peperangan Ukraine, menunjukkan alamat di Padang Besar, Perlis, selepas tentera Rusia menawan kubu Ukraine di Livadny, Zaporizhia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan, pihaknya juga masih menunggu maklum balas daripada pihak Kedutaan Rusia berhubung dakwaan tersebut kerana terdapat kemungkinan dokumen tersebut disalah guna.
“Isu itu ditularkan di media sosial di Rusia sebelum tular di sini.
“Kita sedang menunggu (maklum balas) daripada kerajaan Rusia mengenai status lelaki tersebut termasuk kemungkinan dokumen peribadinya disalah guna atau sebagainya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada Selasa, tular penemuan dua keping gambar yang menunjukkan MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemukan di medan peperangan antara Ukraine dan Rusia.
Lelaki yang tular itu kononnya membabitkan diri sebagai tentera upahan dalam '16th Rifle Batallion Ukraine' yang mana ia sedang berdepan dengan tentera Rusia di Ukraine.
Dokumen berkenaan antaranya menunjukkan alamat berdaftar di Padang Besar, Perlis.
Dikatakan, kedua-dua dokumen itu ditemukan selepas kejayaan tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Livadny, Zaporizhia, Ukraine.
#Razarudin Husain #PDRM #Rusia #Ukraine #kad pengenalan
;