Tentera Udara Singapura, TUDM adakan latihan dua hala SAREX MALSING
Bernama
Oktober 2, 2019 04:48 MYT
Oktober 2, 2019 04:48 MYT
Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengadakan latihan dua hala, Eksasais Mencari dan Penyelamat (SAREX) MALSING, selama lima hari sehingga 4 Okt, 2019 di Pangkalan Udara Kuantan, Malaysia.
Menurut Kementerian Pertahanan Singapura (Mindef), Panglima Tentera Singapura Mejar-Jeneral (MG) Kelvin Khong dan Panglima TUDM Tan Sri Affendi Buang secara bersama merasmikan SAREX MALSING awal hari ini.
"Memandangkan Malaysia dan Singapura terletak berdekatan antara satu sama lain dari segi geografi, akan ada masa apabila kita memerlukan penyelarasan rapat mengenai respon SAR kita untuk menyelamatkan nyawa dengan cepat dan selamat," kata Khong pada majlis itu.
"Oleh itu adalah penting bagi Tentera Udara kedua-dua negara meningkatkan kerjasama melalui pertukaran profesional dari amalan SAR masing-masing yang akan memastikan saluran komunikasi terbuka, dan meningkatkan kecekapan dalam bidang penting seperti SAR."
Latihan yang bermula pada 30 Sept melibatkan kru udara Mencari dan Menyelamat (SAR), kru daratan dan pasukan perubatan dari RSAF dan TUDM, kata Mindef dalam satu kenyataan.
Kementerian berkata, para peserta latihan akan merancang dan melaksanakan operasi pengangkut udara dan operasi pemindahan perubatan secara bersama berdasarkan situasi yang berlaku di udara.
Buat pertama kali, latihan ini akan menampilkan helikopter RSAF AS332 Super Puma dan helikopter TUDM EC725 dalam senario SAR, kata Mindef.
Di samping itu, Kementerian berkata anggota RSAF dan TUDM akan bertukar pengetahuan profesional dan membincangkan bidang untuk kerjasama selanjutnya.
RSAF dan TUDM juga berinteraksi secara kerap merangkumi pelbagai aktiviti, termasuk lawatan dua hala dan pertukaran profesional, serta aktiviti pelbagai hala di bawah Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA), kata kenyataan itu.
-- BERNAMA