Tentera Rusia sedia kukuhkan kerjasama di peringkat bilateral, multilateral

Bernama
Februari 26, 2025 17:12 MYT
ADMM-Campur adalah platform untuk ASEAN dan lapan Rakan Dialognya, iaitu Australia, China, India, Korea Selatan, Jepun, New Zealand, Rusia, dan Amerika Syarikat, untuk mengukuhkan kerjasama.
KUALA LUMPUR: Rusia bersedia memberi sumbangan lebih besar untuk mengukuhkan kerjasama yang bermanfaat antara Tentera Rusia di peringkat hubungan dua hala dan multilateral, seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) - Campur, kata atase tentera Kedutaan Rusia di Malaysia.
ADMM-Campur adalah platform untuk ASEAN dan lapan Rakan Dialognya, iaitu Australia, China, India, Korea Selatan, Jepun, New Zealand, Rusia, dan Amerika Syarikat, untuk mengukuhkan kerjasama keselamatan dan pertahanan demi keamanan, kestabilan, dan pembangunan di rantau ini.
Kapten 1st Rank Victor A Shkulepa berkata Tentera Udara Diraja Malaysia telah menunjukkan tahap kepercayaan bersama yang tertinggi antara Malaysia dan Rusia.
"Kerjasama keselamatan kita sangat jelas dan semula jadi. Kami (Tentera Rusia dan Tentera Malaysia) tidak mempunyai masalah pada masa lepas dan saya yakin ia tidak akan berlaku pada masa depan," kata Shkulepa dalam ucapan beliau semasa sambutan Hari Tentera Rusia di sini baru-baru ini.
Menyentuh mengenai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 yang akan datang, beliau berkata Rusia menantikan penyertaan aktif dalam pameran itu yang akan berlangsung selama lima hari bermula 20 Mei.
Shkulepa turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya penduduk Pulau Pinang, yang memperingati lebih daripada 80 pelaut Rusia yang bersemadi di sana lebih 110 tahun lepas semasa Perang Dunia Pertama.
".. ucapan terima kasih khas kepada Konsul Kehormat Rusia di Pulau Pinang, Malaysia, Datuk Teoh Seng Lee yang dengan teliti memelihara Memorial Tentera Rusia," kata beliau.
Menurut laporan media sebelum ini, 89 tentera Rusia yang terkorban dalam Pertempuran Pulau Pinang semasa Perang Dunia Pertama telah dikebumikan di memorial itu pada tahun 1914.
Sementara itu, agensi berita Rusia TASS dalam laporan dari Moscow pada Isnin berkata Setiausaha Majlis Keselamatan Rusia Sergey Shoigu akan memulakan lawatan kerja ke Indonesia dan Malaysia, dan beliau dijangka mengadakan rundingan mengenai isu-isu bilateral yang mendesak.
Laporan itu memetik kenyataan perkhidmatan akhbar majlis itu.
"Pada 24 Februari 2025, Setiausaha Majlis Keselamatan Rusia Sergey Shoigu memulakan lawatan kerja ke Indonesia dan Malaysia, disertai oleh delegasi pelbagai agensi.
Lawatan ini akan berlangsung sehingga 28 Februari. Sepanjang lawatan, rundingan dijangka akan diadakan mengenai isu-isu bilateral yang mendesak, termasuk yang berkaitan dengan keselamatan dan pertahanan, serta mengenai perkembangan kerjasama dalam bidang lain yang mempunyai kepentingan bersama," kata kenyataan itu.
Pihak-pihak berkenaan juga dijangka bertukar pandangan mengenai isu-isu antarabangsa dan serantau, katanya.
Sumber yang dihubungi oleh Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama enggan mengesahkan sama ada Shoigu telah tiba di Malaysia atau tidak, dan butiran lanjut mengenai lawatan berkenaan.
Sumber itu juga tidak mengesahkan sama ada pegawai keselamatan Rusia itu menghadiri Permukiman ADMM yang sedang berlangsung di Batu Ferringhi, Pulau Pinang.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan," menjadi tuan rumah Permukiman ADMM selama dua hari yang bermula hari ini dan menghimpunkan menteri pertahanan serta pegawai kanan dari semua 10 negara anggota ASEAN dan negara pemerhati Timor-Leste.
ADMM-Campur yang pertama telah diadakan di Ha Noi, Vietnam, pada 12 Oktober 2010.
-- BERNAMA
#Rusia #kerjasama #ADMM #TUDM #ASEAN #Malaysia #bilateral
;