Tentera Malaysia di Arab Saudi untuk lancarkan pemindahan rakyat Malaysia
Bernama
Mei 11, 2015 18:34 MYT
Mei 11, 2015 18:34 MYT
Misi anggota tentera Malaysia di Arab Saudi adalah untuk memudahkan pemindahan keluar secara selamat dan lancar baki rakyat negara yang masih berada di Yaman, kata Panglima Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Dr Zulkefli Mohd Zin.
Beliau berkata dua pesawat pengangkut C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditempatkan Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Pangkalan Udara Putera Sultan (PSAB) di Riyadh, Arab Saudi.
"FOB telah dibuka di PSAB sebagai tapak pendaratan sebelum berlepas ke lokasi pemindahan.
"Rakyat negara ini yang dipindahkan akan dibawa pulang ke FOB sebelum dihantar pulang ke Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini sebagai mengulas laporan media yang mendakwa ATM terlibat dalam operasi tentera pakatan diketuai Arab Saudi ke atas pemberontak di Yaman.
Dalam kenyataan itu, Zulkefli berkata fokus tentera pakatan yang diketuai Arab Saudi kini beralih daripada operasi serangan kepada operasi pengharapan.
"Menjadi harapan kita gencatan senjata yang dicadang bermula pada Selasa, kekal," katanya.