Tentera Laut Korea Utara dilengkapi senjata nuklear, kata Kim

Bernama
Ogos 29, 2023 22:55 MYT
Kim Jong-un berkata: "Tentera Laut DPRK akan menjadi komponen pencegahan nuklear negara yang menjalankan tugas strategik." - Gambar fail/Reuters
ISTANBUL: Korea Utara akan melengkapi tentera lautnya dengan senjata nuklear, kata pemimpin negara itu.
Semasa lawatan ke Komando Tentera Laut pada Ahad, Kim Jong-un berkata: "Tentera Laut DPRK akan menjadi komponen pencegahan nuklear negara yang menjalankan tugas strategik."
DPRK adalah singkatan Republik Demokratik Rakyat Korea, nama rasmi Korea Utara.
Kim berkata unit-unit perkhidmatan bersenjata Korea Utara yang berbeza "akan dilengkapi dengan persenjataan baharu mengikut dasar meluaskan operasi senjata nuklear taktikal," Agensi Anadolu memetik KCNA News yang dikendalikan kerajaan di Pyongyang melaporkan pada Selasa.
Beliau menggesa anggota tentera laut "untuk terus menetapkan sasaran yang tinggi dan mengatur serta meneruskan gerakan sebenar, yang hampir dengan peperangan sebenar sebanyak mungkin ... meningkatkan keupayaan tempur untuk pasti menghalang tentera AS dan sekutunya yang terus meningkat untuk menghasut perang nuklear."
Secara berasingan, Korea Selatan, AS dan Jepun pada Selasa menjalankan latihan pertahanan peluru berpandu bersama di perairan antarabangsa di selatan Semenanjung Korea, lapornya.
Latihan itu sebagai tindak balas kepada dakwaan Korea Utara yang melancarkan roket angkasa lepas minggu sebelumnya, menurut Komando Indo-Pasifik AS.
Seoul berkata latihan itu didorong oleh peningkatan risiko nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.
--BERNAMA-AGENSI ANADOLU
Tag: Korea Utara, tentera laut, senjata nuklear, Kim Jong-un
#senjata nuklear #Tentera Laut #roket angkasa lepas #peluru berpandu
;