Tentera laut Filipina sekat bot waris Kiram

Astro Awani
Mac 13, 2013 22:29 MYT
Tentera laut Filipina menyekat dua buah bot yang membawa pengikut waris Kesultanan Sulu, Jamalul Kiram III dekat Pulau Tawi-Tawi di selatan negara itu, pagi tadi, lapor media di Filipina.
Laman web akhbar The Pihilippine Star melaporkan, bot berkenaan membawa sekurang-kurangnya 35 pengikut Jamalul termasuk seorang wanita dan ditahan di perairan dekat pekan Andoligan pada pukul 6.30 pagi Rabu.
Jurucakap tentera laut Filipina, Lt. Komander Gregiry Fabic dipetik berkata, pihaknya merampas senjata dan peluru dari dua buah bot berkenaan.
Fabic juga berkata, pihaknya belum dapat memastikan apakah bot berkenaan sedang menuju ke Sabah.
Sementara itu, AFP memetik laporan televisyen ABS-CBN mengatakan salah seorang daripada kumpulan itu tercedera.
Setakat ini Jamalul Kiram III tidak pernah mengatakan yang tenteranya di Sabah akan berundur, seperti permintaan Malaysia.
Namun demikian, ada pelbagai laporan media yang berbeza-beza dimana ada yang mengatakan kumpulan itu bergerak ke arah Malaysia dan ada yang mengatakan kumpulan itu bergerak ke arah Filipina.
Angka terkini kematian penceroboh Sulu mencecah 58 orang.
#Filipina #Lahad Datu #Tawi-Wati
;