Tentera hilang dalam laut di Pulau Perak
Astro Awani
Oktober 4, 2016 11:40 MYT
Oktober 4, 2016 11:40 MYT
Dua anggota tentera darat hilang ketika menjalankan operasi di Pulau Perak dekat Kedah, pada Isnin.
Menurut kenyataan Markas Tentera Darat, kedua-dua anggota tersebut dilaporkan terjatuh ke dalam laut sekitar jam 4.40 petang.
Mereka dikenali sebagai Koperal Johbartlee Kanil dan Koperal Mohd Faizol Rosli.
Mereka merupakan anggota dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (RRD) berpangkalan di Oran, Perlis.
Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggunakan tiga buah kapal terdiri daripada KD Laksamana Tun Abdul Jamil, KD Ledang dan KD Selangor.
Operasi turut dibantu sebuah pesawat Super Lynx dan pesawat Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari 3 Skuadron Butterworth.
Menurut kenyataan tersebut, pihak keluarga juga sudah dimaklumkan berhubung insiden itu.