Tentera Darat teruskan usaha cari anggota tentera hilang di Pulau Perak

Fareez Azman
Ogos 16, 2019 12:18 MYT
Mohamad ketika menyampaikan amanat pada pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2019 di Kementerian Pertahanan hari ini. Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Tentera Darat meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan dua anggotanya yang hilang di Pulau Perak, Kedah, sejak 20 Julai lalu.
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata demikian berhubung status terbaharu pencarian Kpl David Edmund Rapi dan Lans Kpl Moses Logers dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD).
Mohamad menjelaskan, meskipun terdapat permintaan dari keluarga mangsa agar operasi pencarian di laut dijalankan semula, ia bergantung kepada wujudnya tanda baharu bagi membolehkan ia dijalankan.
"Pihak Tentera Darat terus mencarinya. Operasi di laut dan sebagainya, kalau ada tanda baharu, kita akan terus mencarinya.
"Setakat ini, tidak muncul tanda baharu. Jadi, usaha kita diteruskan di daratan," kata Mohamad.
Beliau ditemui pada perhimpunan dan pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2019 di Dataran Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak, di sini.
David dan Moses yang berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis, dilapor hilang ketika bertugas di kawasan operasi Op Pejarak di Pulau Perak, Kedah, pada 20 Julai.
BACA: ATM henti usaha cari tentera yang hilang
BACA: Operasi mencari dua anggota tentera diperhebat
Operasi di laut, kalau ada tanda baharu, kita akan teruskan.
Dalam satu kenyataan 6 Ogos lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan SAR ditamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebagai agensi peneraju memandangkan tiada sebarang petunjuk dan tiada penemuan sebarang jasad setelah 72 jam operasi dilaksanakan.
Pada 9 Ogos, Menteri Kerja Raya Baru Bian, bercakap bagi pihak dua anggota tentera yang hilang, menggesa ATM meneruskan usaha mencari.
Katanya, anggota keluarga anggota tentera berkenaan masih berharap agar ATM tidak menghentikan pencarian.
Sehingga kini, tiada sebarang petunjuk dikesan berhubung kehilangan dua anggota tentera itu.
BACA: Tentera hilang dalam laut di Pulau Perak
BACA: Mayat koperal tentera dijumpai dekat Pulau Perak
#4 RRD #anggota #ATM #hilang #Kedah #keluarga #Kementerian Pertahanan #Malaysia #menteri #Mohamad Sabu #pencarian #permintaan #Pulau Perak #SAR #tentera
;