Tentera Darat tambah baik MASt untuk mantapkan sistem pengurusan
Bernama
Januari 8, 2017 08:17 MYT
Januari 8, 2017 08:17 MYT
Tentera Darat Malaysia akan menambah baik manual 'Malaysian Army Standard' (MASt) sedia ada bagi memantapkan sistem dan prosedur pengurusannya supaya dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berkesan.
Panglima Tentera Darat, Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata enam aspek akan diketengahkan dalam MASt yang baharu antaranya berkaitan perkhidmatan kawalan kehormatan utama, pengurusan kenderaan, pengurusan logistik dan pengurusan dokumentasi pemberhentian anggota.
"MASt akan digunakan sebagai garis panduan pengurusan Tentera Darat dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan dan ianya dijangka akan dilancarkan pada Mac ini," katanya kepada pemberita selepas Perbarisan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-26 di Kem Perdana Sungai Besi, di sini pada Sabtu.
MASt fasa pertama yang telah dilancarkan Jun 2016 merangkumi tiga aspek iaitu pengurusan stor senjata, pengurusan keluar masuk kem tentera dan pengurusan dewan makan di Kompleks Sajian.
Mengulas situasi banjir yang dialami di beberapa negeri ketika ini, Zulkiple berkata Tentera Darat sentiasa memantau perkembangan semasa banjir terutamanya di Kelantan dan Terengganu.
Katanya, seramai 2,000 anggota ditempatkan di kawasan yang terjejas bagi membantu mangsa banjir.
Terdahulu, Zulkiple dalam ucapannya berkata dalam keadaan kemeruapan ekonomi global, setiap lapisan kepimpinan perlu sentiasa bersedia mendepani cabaran pengurusan organisasi dengan mengoptimumkan sumber yang terhad tanpa menjejaskan tugas hakiki Tentera Darat.
Katanya, amalan inovasi serta kreativiti perlu dibudayakan supaya segala sumber atau aset dapat diuruskan dengan berhemah serta perkhidmatan dapat diberikan dengan berkualiti selain risiko yang memudaratkan mampu dielakkan.
Zulkiple turut menasihati anggotanya melakukan tugasan dengan penuh integriti dan ketelusan serta menerapkan amalan secara komprehensif bagi mencegah tindakan di luar batasan peraturan dan penyalahgunaan kuasa.
Pada majlis itu, beliau turut memperkenalkan slogan baharu Tentera Darat iaitu 'Tentera Darat Satu, Kerana Bersatu' menggantikan slogan 'Tentera Darat Teguh Siaga, ATM Gah ATM Perkasa'.
-- BERNAMA