Tentera Darat serah siasatan kematian anggotanya kepada PDRM

Faris Danial Razi
September 8, 2020 20:40 MYT
TDM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggota jika terlibat dengan sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang.
Tentera Darat Malaysia (TDM) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam melaksanakan siasatan insiden kematian yang melibatkan anggotanya, Abdul Aziz Aznam pada 6 September lalu.
Menurut TDM dalam satu kenyataan media pada Selasa, pihaknya sentiasa terbuka dan akan terus memberikan kerjasama serta bantuan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membantu siasatan.
“TDM menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam melaksanakan siasatan dan memberi kerjasama yang penuh kepada pihak PDRM dalam melancarkan siasatan tersebut.
“TDM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggota jika terlibat dengan sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang,” jelasnya.
Sementara itu, TDM memaklumkan, Allahyarham telah melapor ke Balai Pengawal 10 RAMD daripada Tidak Hadir Tanpa Cuti (THTC) pada jam 6.00 petang 28 Ogos lalu.
"Allahyarham kemudian diletakkan dalam bilik Tangkapan Longgar di Bilik Bujang Kompeni A sementara menunggu proses dokumentasi dan dibacakan pertuduhan oleh Pegawai Pemerintah pada Oktober ini.
"Ini kerana Pegawai Pemerintah pasukan berkenaan (10 RAMD) bersama pasukan sedang beroperasi di Sabah ketika ini," tambah kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, TDM menegaskan tiada unsur jenayah dan penderaan yang boleh dikaitkan dengan kes kematian anggota tentera dari pasukan Batalion Kesepuluh Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD), Kem Majidee, Johor itu.
TDM dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat setelah hasil bedah siasat terhadap arwah Prebet Abdul Aziz Azman yang dikeluarkan oleh Doktor Pakar Hospital Sultanah Aminah (HSNI), Johor Bahru, pagi tadi.
“Hasil bedah siasat pada 7 September 2020 jam 11.40 pagi, mendapati tiada kecederaan fizikal lain dalam badan jenazah yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah dan penderaan,
“Susulan dengan keputusan tersebut, Pakar Forensik Bedah Siasat dan PDRM telah melawat lokasi kejadian di 10 RAMD pada 7 September jam 4.30 petang untuk mengesahkan laporan bedah siasat adalah konsisten dengan situasi tempat kejadian,” katanya.
Sebagai rekod, mangsa didapati jatuh daripada aras tiga bangunan bilik penginapan terbabit kira-kira jam 11.50 malam pada 29 Ogos lalu.
"Dia yang mengalami kecederaan parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.
"Susulan kejadian itu, pasukan 10 RAMD membuat satu laporan di Balai Polis Batu Pahat, Johor pada 29 Ogos lalu dan pihak keluarga membuat satu laporan polis di Ipoh, Perak pada 1 September lalu atas dakwaan bahawa anggota berkenaan didera sebelum ini.
“Selepas sembilan hari dirawat di HSNI, Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 2 petang, Ahad," lapor kenyataan itu lagi.
BACA: Tentera maut dipercayai terjun dari tingkat tiga, polis siasat dakwaan dibuli
#Abdul Aziz Aznam #Batu Pahat #jenayah #jenazah #Johor Bahru #meninggal dunia #PDRM #polis #Polis Diraja Malaysia #TDM #tentera #Tentera Darat Malaysia #undang-undang
;