Tentera Darat Malaysia beri fokus tingkatkan jumlah rumah keluarga anggota - Zamrose
Bernama
Februari 28, 2022 05:27 MYT
Februari 28, 2022 05:27 MYT
KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) akan memberi fokus terhadap usaha meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan warganya, kata Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
Beliau berkata tumpuan pihaknya akan diberikan kepada usaha meningkatkan penyediaan rumah yang mencukupi buat warga tentera, supaya anggota keluarga mereka dapat menikmati kediaman yang lebih selesa.
"Buat masa ini kita mempunyai tujuh projek perumahan baharu yang sedang dilaksanakan dan dijangka siap tahun ini. Projek membaiki serta membina baharu rumah untuk veteran juga akan terus dilaksanakan melalui Projek Jiwa Murni termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.
Beliau berkata usaha ini penting bagi meningkatkan moral dan semangat warga Tentera Darat untuk terus memberi khidmat yang terbaik kepada negara.
TDM menetapkan enam fokus untuk dilaksanakan tahun ini bagi mencapai amanat dan aspirasi yang dizahirkan pemerintahan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.
Enam fokus itu adalah kesejahteraan dan kebajikan anggota; meningkatkan kesiagaan dan keupayaan; penstrukturan dan penyusunan organisasi; pemerkasaan tadbir urus; meningkatkan diplomasi pertahanan; dan membantu kerajaan dalam operasi ketenteraan selain perang.
-- BERNAMA