Tentera Darat 'intai' peluang perluas ladang integrasi

Shuhada Abdul Kadir
Februari 14, 2023 16:01 MYT
Zamrose (tiga, kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Desatera Sdn Bhd Datuk Feizal Nurbi (dua, kiri) menunjukkan pelbagai jenis sayur-sayuran hasil dari aktiviti pertanian di Ladang Integrasi Tentera Darat di Kem Syed Sirajuddin hari ini. - BERNAMA
TAMPIN: Tentera Darat Malaysia (TDM) bakal memperluaskan ladang integrasi yang kini diusahakan dengan projek tanaman sayur-sayuran kepada aktiviti ternakan di setiap kem di seluruh negara.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, inisiatif yang membolehkan komuniti tentera mendapatkan barangan mentah pada harga jauh lebih murah berbanding di pasaran itu secara tidak langsung mampu membantu mengurangkan bebas kos sara hidup komuniti berkenaan.
"Kita berhahap bahawasanya ladang integrasi sebegini akan diperluaskan yang mana buat masa ini saya sudah racnag supaya ianya mempunyai beberapa zon, zon Utara, zon Tengah, zon Selatan , zon di Sabah dan juga Sarawak.
"Sekiranya benda ini berlaku di masa akan datang, dia akan dapat menampung atau mengurangkan beban sara hidup anggota-anggota untuk semua Tentera Darat.
"Saya yakin bahawasanya walaupun banyak cabaran bakal dihadapi, saya yakin dengan kerjasama pihak Tentera Darat dan kita akan dapat laksanakan ladang integrasi ini dengan meluas dan sebaik mungkin," katanya selepas merasmikan Ladang Integrasi Tentera Darat di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.
Ladang berkenaan merupakan usaha pengurusan tertinggi TDM dengan kerjasama Desatera Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan Brahim's Dewina yang mula beroperasi 15 Mei tahun lepas.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ladang seumpama itu juga akan diperluaskan ke setiap zon antara lain memberi peluang kerjaya termasuk kepada ahli keluarga pegawai serta anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
#Angkatan Tentera Malaysia #Zamrose Mohd Zain #ladang integrasi #kos sara hidup
;