Tentera darat buat persiapan sejak Oktober hadapi banjir

Bernama
Disember 22, 2022 17:02 MYT
Zamrose berkata bagi situasi di Kelantan dan Terengganu umpamanya, trup serta pelbagai aset telah diatur gerak di bawah 8 Briged yang sekiranya tidak mencukupi, bantuan tambahan seterusnya akan dilaksanakan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) membuat persiapan sejak Oktober lagi bagi menghadapi situasi banjir susulan Monsun Timur Laut, selain mewujudkan komander yang dilantik di setiap negeri untuk mengatur gerak pasukan dan aset dalam memberikan bantuan kepada mangsa.
Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, bagi situasi di Kelantan dan Terengganu umpamanya, trup serta pelbagai aset telah diatur gerak di bawah 8 Briged yang sekiranya tidak mencukupi, bantuan tambahan seterusnya akan dilaksanakan.
"Ada khabar yang mengatakan gelombang (banjir) akan menghala ke selatan seperti Johor dan Melaka. Maka kita pun siap sedia. Untuk 'first respondent' itu, kita sudah ada cuma kalau ada penambahan (kita akan lakukan)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Motosikal Penguatkuasa Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) Model BMW R1250RT di Padang Kawad Pusat Latihan Polis Tentera (PULAPOT), Kem Genting Klang, di sini hari ini.
Zamrose berkata seramai 64 pegawai dan 1,311 anggota diatur gerak bersama lapan trak tujuh tan, 30 trak tiga tan dan 21 bot untuk membantu pihak berkuasa awam memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS).
"Setakat ini, jumlah keseluruhan mangsa yang dipindahkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah 2,771 orang," katanya.
Selain itu, beliau berkata ATM juga menyediakan trup seramai 962 pegawai dan 17,742 anggota sebagai simpanan sekiranya keadaan banjir di seluruh negara semakin kritikal.
Mengenai motosikal KPTD berkenaan, Zamrose berkata kegunaannya adalah sebagai kenderaan rondaan keselamatan dan tugas pengiring bagi orang kenamaan, konvoi kenderaan tentera serta konvoi membawa peluru dan bahan letupan.
Katanya perkhidmatan motosikal polis tentera itu juga digunakan untuk menghantar utusan atau surat berdarjah apabila keadaan memerlukan.
-- BERNAMA
#tentera darat #banjir #Zamrose Mohd Zain #mangsa banjir
;