Tengkujuh punca longgokan sampah di pantai Mersing

Astro Awani
Disember 30, 2020 15:25 MYT
Penduduk menafikan sampah itu adalah disebabkan sikap penduduk yang mengabaikan kebersihan. - Gambar fail/ Facebook @Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
JOHOR BAHRU: Penduduk daerah Mersing mendakwa longgokan sampah sarap khususnya di kawasan pantai adalah disebabkan musim tengkujuh.
Malah penduduk juga menafikan sampah itu adalah disebabkan sikap penduduk yang mengabaikan kebersihan.
Seorang peneroka, Satam Nadar berkata, sampah berkenaan dibawa ombak yang menyebabkan barangan buangan seperti botol plastik tersadai di tepi pantai.
Perkara yang sama dikongsi oleh Nafisah Mohd Tahar.
"Sampah tersebut dibawa oleh ombak dan ditinggalkan di persisiran pantai. Tapi kalau mereka yang terserempak (dengan sampah), bolehlah tolong ambil dan masukan dalam tong sampah, tak salah kan," katanya.
Sementara itu, bagi seorang pekerja pembersihan syarikat swasta, Ramli Ahmad yang bertugas di kawasan pelancongan itu lebih 10 tahun berkata, masalah longgokan sampah yang ketara jarang sekali berlaku di kawasan itu.
"Kalau monsun memanglah, bukan nak nafikan," katanya.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, murka dengan sikap segelintir rakyat di daerah Mersing yang mengabaikan soal kebersihan sehingga ada tempat awam dipenuhi sampah sarap.
Melalui hantaran dalam akaun Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim bertitah, Mersing adalah sebuah daerah pelancongan yang menjadi tumpuan pelancong dari luar negara, selain kaya dengan keindahan alam semula jadi.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib berpendapat, pemasangan perangkap sampah di pintu-pintu air ke sungai utama boleh dilakukan.
Dengan itu katanya, ia dapat membantu mengurangkan jumlah sampah di persisran pantau utama terutamanya ketika musim tengkujuh.
"Saya tidak nampak kenapa kita tidak boleh guna apa yang dilakukan di melaka sebagai panduan untuk kita menjaga kebersiahan pantai di Mersing," katanya.
Selain Alwiyah berkata, tindakan undang-undang yang tegas boleh dikuatkuasakan oleh Majlis Daerah Mersing sama ada di pantai Jeti atau melibatkan pembuangan siasa pepejal industri khas daerah itu.
Langkah itu diyakini lebih berkesan dan bertujuan mendidik orang ramai supaya lebih peka terhadap kebersihan.
#tapak pembuangan sampah #tengkujuh #Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar #sultan murka #Mersing #persisiran pantai
;