Tengku Zaihan calon BN bagi Kuala Besut
Astro Awani
Julai 9, 2013 18:58 MYT
Julai 9, 2013 18:58 MYT
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan jurutera Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut.
Tengku Zaihan merupakan seorang jurutera di Jabatan Parit dan Saliran, Putrajaya. Beliau mendapat ijazah dari Universiti Sains Malaysia dalam bidang kerjuruteraan, telah berkahwin serta mempunyai empat orang anak.
Timbalan Perdana Menteri berkata Tengku Zahrin, 37, merupakan calon terbaik kerana selain anak jati Kuala Besut, pemilihan beliau mendapat sokongan anggota parti di semua peringkat.
"Bagi kita calon muda ini diterima ahli parti dan tidak ada masalah sebagai "orang pantai" kerana beliau dekat dihati rakyat," katanya pada majlis pelancaran jentera pilihan raya BN dan pengumuman calon di sini.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata kemenangan pada pilihan raya kecil ini cukup signifikan untuk mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan BN di Terengganu.
Beliau yang juga Pengarah PRK Kuala Besut berkata oleh itu pengundi di Kuala Besut yang bakal menjadi penentu kepada nasib BN di Terengganu perlu memastikan agenda transformasi yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut dinikmati rakyat di negeri ini.
"Kemenangan di Kuala Besut jadi penentu untuk memastikan Terengganu kekal dapat bergerak seiring dengan kerajaan di peringkat pusat dan sebab itu kedudukan BN perlu dikukuhkan lagi dan kemenangan ini cukup signifikan," katanya.
Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei lalu, BN Terengganu memenangi 17 kerusi DUN manakala pembangkang meraih 15 kerusi DUN untuk BN membentuk kerajaan negeri.
Muhyiddin berkata selain untuk mencatat kemenangan, jentera pilihan raya BN perlu memastikan jumlah majoriti meningkat berbanding majoriti 2,434 pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu.
Menurutnya kempen pada bulan Ramadan tidak akan menjadi penghalang jentera BN untuk mendekati rakyat selain menggunakan peluang tersebut untuk berkhidmat mengikut tuntutan agama Islam.
"Kita ambil ini sebagai cabaran sebab jatuh pada bulan puasa dan kita akur kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan tarikh PRK," katanya.
Pas dijangka mengumumkan calon mereka pada malam ini.
Pilihan raya kecil Kuala Besut diadakan selepas wakil rakyatnya, Dr A. Rahman Mokhtar meninggal dunia pada 26 Jun lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai ini sebagai tarikh mengundi untuk PRK Kuala Besut yang mempunyai 17,683 pengundi dan 12 Julai sebagai tarikh penamaan calon.