Tengku Zafrul sertai sukarelawan MyVac di PPV KLCC

Faris Danial Razi
Ogos 20, 2021 20:43 MYT
Tengku Zafrul mengambil peluang menjadi sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (PPV KLCC) pada Jumaat. - Foto Facebook
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengambil peluang menjadi sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (PPV KLCC) pada Jumaat.
Katanya, sebelum ini beliau pernah terfikir untuk menyertai kerja amal itu, namun baru kini beliau mempunyai sedikit masa lapang untuk membantu petugas barisan hadapan.
Tengku Zafrul ditugaskan untuk membantu pengunjung yang terdiri daripada warga asing dan warga emas yang tidak berapa mahir dengan aplikasi mudah alih.
"Tugasan saya ialah untuk bantu pengunjung yang walk-in mendapatkan vaksinasi. Kebanyakan mereka warga asing dan warga emas yang tidak berapa mahir dengan aplikasi mudah alih, jadi kena tunjuk mereka cara register," ujarnya.
Selain itu, beliau juga ditugaskan membimbing pengunjung ke lorong dan laluan yang betul, sebelum mendapat vaksinasi mereka
Katanya, orang ramai boleh layari myvac.com.my untuk mengetahui lebih lanjut cara menjadi sukarelawan dan mendaftar sebagai sukarelawan.
#PPV #Pusat Pemberian Vaksin #petugas barisan hadapan #warga asing #warga emas #vaksin #COVID-19 #PPV KLCC #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #MyVAC
;