Tengku Zafrul lancar buku hargai jasa petugas hadapan ekonomi, kongsi nota harungi COVID-19
Astro Awani
September 10, 2022 15:31 MYT
September 10, 2022 15:31 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz menzahirkan penghargaan terhadap jasa petugas barisan hadapan ekonomi negara melalui pelancaran buku sulungnya bertajuk "Weathering The Economic Storm: A Journey Through Uncharted Waters of COVID-19".
Buku yang dilancarkan sempena sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia pada 16 September ini, antaranya menyentuh sumbangan anak Malaysia yang berkorban dan memastikan ekonomi rakyat serta negara ketika berdepan dengan COVID-19.
Jelas Tengku Zafrul, buku tersebut merupakan kompilasi nota yang disimpannya semasa berdepan COVID-19, serta pandangan di sebalik dasar ekonomi yang digubal Kementerian Kewangan (MoF).
"Dari sudut ekonomi yang lebih meluas, kami di MoF perlu berfikir di luar kotak dan bertindak balas terhadap keperluan rakyat dan pada masa sama, bertanggungjawab dari segi fiskal.
"Kebanyakan dasar ini digubal dalam tempoh dan maklumat yang terhad serta tidak ada buku panduan untuk dirujuk.
"Buku ini bukan sekadar catatan semasa saya di MoF, tetapi yang lebih penting, penghormatan kepada barisan hadapan, yang menjadi wira yang tidak didendang dalam pemulihan ekonomi Malaysia," katanya pada majlis pelancaran buku itu pada Jumaat.
Berkenan berangkat pada majlis tersebut ialah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Turut berangkat Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin.
Jelas Tengku Zafrul lagi, beliau optimis bahawa sekiranya masyarakat bersama-sama berusaha keras, masa depan yang lebih cerah akan menanti Malaysia.
Beliau berharap buku sulungnya itu boleh menjadi rekod awam mengenai apa yang dilakukan oleh petugas barisan hadapan ekonomi di MoF, kementerian serta agensi lain untuk memastikan ekonomi negara tidak terjejas teruk sepanjang pandemik.
Sementara itu, Sultan Selangor ketika berucap menyifatkan Tengku Zafrul mengemudi ekonomi negara dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan, membantu segenap lapisan masyarakat di seluruh pelusuk negara yang terkesan akibat pandemik.
Titah baginda, penerbitan buku tersebut sangat tepat pada masanya kerana ramai yang ingin tahu rasional dan proses yang berlaku di sebalik dasar kerajaan dalam menguruskan ekonomi semasa pandemik.
"Tidak ada buku panduan untuk menghadapi COVID-19 menyebabkan semua negara perlu mewujudkan sendiri melalui percubaan dan kesilapan.
"Beta sendiri berdepan dengan pelbagai cabaran dan terpaksa membuat keputusan yang drastik ketika wabak COVID-19 menular, demi kesejahteraan rakyat Selangor. Justeru, beta amat memahami tanggungjawab berat yang dipikul oleh Tengku Zafrul di peringkat Persekutuan," titah Sultan Selangor.