Tengku Razaleigh dijadual rasmi perhimpunan agung Perkasa Ahad ini
Irwan Muhammad Zain
Disember 19, 2013 07:30 MYT
Disember 19, 2013 07:30 MYT
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dijadualkan merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang akan diadakan di Pusat Islam, Kuala Lumpur Ahad ini.
Perkara tersebut disahkan oleh Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan menjelaskan pemilihan anak raja Kelantan kerana beliau merupakan salah seorang negarawan yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara terutama dalam bidang ekonomi.
"Kami gembira Tengku Razaleigh menerima undangan untuk merasmikan mesyuarat agung Perkasa. Meskipun Perkasa sering digelar sebagai pertubuhan rasis tetapi kami juga mempunyai banyak nama-nama besar.
"Perkasa berasa teruja untuk mendengar ucapan Tengku Razaleigh kerana beliau merupakan pemimpin yang berfikiran di luar kotak serta kurang mempunyai kontroversi," katanya pada sidang media di ibu pejabat Perkasa di sini pada Khamis.
Ibrahim berkata dijangkakan 3000 perwakilan dan pemerhati akan menghadiri perhimpunan agung kali keempat pertubuhan tersebut dan empat usul akan dibentangkan.
Usul perlembagaan negara, agama Islam, ekonomi dan pendidikan akan dibentang oleh Roslan Kassim mewakili Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Perkasa dan akan disokong perwakilan dari Perlis.
Mengulas usul ekonomi, Ibrahim berkata ia bakal menyentuh tentang pengagihan kek ekonomi yang dilihat masih tidak dibuat secara adil kepada orang Melayu dan Bumiputera.
Selain itu, Ibrahim berkata ia juga usul ekonomi itu akan menyarankan agar ekonomi Bumiputera dilihat semula kerana golongan tersebut dilihat masih ketinggalan.
"Masalah kos sara hidup menghimpit semua tanpa mengira kaum. Kemiskinan tegar bukan isu besar sekarang. Apabila agenda ekonomi dipenuhi, isu lain tidak mengganggu kestabilan.
"Apa yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa program pemerkasaan ekonomi Bumiputera adalah kenyataan dasar tetapi pelaksanaannya perlu lebih baik supaya dasar tersebut dapat direalisasikan," katanya.
Ibrahim berkata penekanan terhadap perlaksanaan dasar pemerkasaan ekonomi Bumiputera perlu bagi memastikan tidak berlaku ketirisan seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) suatu ketika dahulu.
Mengulas mengenai pencapaian Perkasa, Ibrahim berkata, berdasarkan pemerhatiannya pertubuhan yang diterajui itu merupakan badan bukan kerajaan (NGO) mempunyai keahlian paling tinggi dan tersusun di Malaysia.
Katanya, hanya Perkasa satu-satunya NGO yang mengadakan mesyuarat di peringkat daerah dan negeri dan kehadirannya lebih dari 200 ahli.
"Kami NGO yang paling tersusun mengadakan mesyuarat di peringkat kawasan dan negeri. Kami bukan parti politik dan tidak mengheret sentimen politik ke dalam perbahasan.
"Perkasa bebas membincangkan apa sahaja isu tidak seperti parti politik, tak boleh tegur lebih, nanti tok guru marah, pucuk pimpinan parti tersentap," katanya.