Tengku Puan Pahang zahir rasa dukacita Kuantan dicemari bauksit
Bernama
Januari 3, 2016 23:11 MYT
Januari 3, 2016 23:11 MYT
Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Maimunah Iskandariah hari ini menzahirkan rasa dukacita terhadap pencemaran akibat aktiviti bauksit di daerah ini.
Beliau turut meminta rakyat agar terus berjuang untuk menghentikan kegiatan tersebut yang menjadi semakin serius sejak akhir-akhir ini.
Menerusi laman sosial instagramnya @tengku--puan--pahang, Tunku Azizah memuat naik beberapa status berhubung perkara tersebut.
Beliau mengepilkan beberapa keratan akhbar yang melaporkan tentang pencemaran disebabkan aktiviti bauksit.
Isu pencemaran itu muncul kembali menjadi tajuk utama kebanyakan akhbar baru-baru ini setelah air Sungai Balok dan air laut di Pantai Batu Hitam yang menjadi tumpuan pelancong tercemar dan bertukar menjadi merah.
Tunku Azizah turut mendedahkan pantai di hadapan rumahnya sendiri di Balok turut bertukar menjadi merah.
Beliau menerusi statusnya dalam bahasa Inggeris turut meminta pihak berkenaan bertindak menghentikan perkara tersebut daripada terus berlaku.
Bagaimanapun Tunku Azizah berkata adalah tidak wajar perkara itu dipersalahkan sepenuhnya atas kerajaan.
"Jangan salahkan kerajaan sahaja...salahkan juga pengusaha haram...salahkan juga tuan punya tanah...kita semua salah di sini," katanya.