Tengku Permaisuri Selangor kesal insiden penangkapan anjing secara ganas
Bernama
Oktober 7, 2019 22:12 MYT
Oktober 7, 2019 22:12 MYT
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa kesal berhubung insiden anggota Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang cuba menangkap seekor anjing terbiar secara ganas yang tular menerusi sebuah klip video dalam media sosial baru-baru ini.
Tengku Permaisuri Selangor, yang juga Penaung Diraja kempen Stray Free Selangor (SFS) turut kecewa dan sedih kerana kejadian kejam seumpamanya itu masih berlaku dalam masyarakat meskipun banyak kempen kesedaran telah dilaksanakan membabitkan haiwan terbiar.
"Saya amat kesal apabila diperlihatkan dengan satu klip video yang menunjukkan beberapa anggota Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) cuba menangkap seekor anjing terbiar secara ganas.
"Di sini saya ingin menggesa agar pihak berwajib lebih peka dan berperikemanusiaan dalam menguruskan kes membabitkan haiwan terbiar di jalanan," titah Baginda menerusi satu kenyataan dalam akaun Facebook Selangor Royal Office hari ini.
Baginda turut difahamkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam serta Pembangunan Kampung Baru negeri Selangor, Ng Sze Han telah memohon maaf di atas tindakan kasar anggota MPSJ terbabit.
Dalam pada itu, Baginda berharap prosedur penangkapan haiwan jalanan yang ditetapkan seharusnya dipatuhi untuk memastikan kesejahteraan haiwan dan keselamatan kakitangan pihak berkuasa tempatan yang terlibat.
"Saya juga ingin menegaskan betapa pentingnya prosedur ini dijalankan dengan sebaik mungkin tanpa menyakiti atau mencederakan haiwan terbabit. Prosedur ini juga perlu diperkemas dan dilaksanakan sesuai dengan situasi tertentu.
"Buat kesekian kalinya saya mohon agar semua pihak, tidak kiralah kakitangan pihak berkuasa atau masyarakat secara amnya, supaya menyemai sifat belas kasihan terhadap haiwan terbiar yang memerlukan bantuan," titah Baginda.
Tengku Permaisuri Selangor bertitah semua pihak perlu mematuhi Akta Kebajikan Haiwan 2015 di mana memperuntukkan bahawa hukuman denda RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun boleh dikenakan ke atas sesiapa yang melakukan kekejaman terhadap haiwan.
-- BERNAMA
#anjing terbiar
#ganas
#Majlis Perbandaran Subang Jaya
#MPSJ
#Stray Free Selangor
#tangkap anjing
#Tengku Permaisuri Norashikin
#Tengku Permaisuri Selangor