Tengku Permaisuri Selangor galak graduan belajar ke peringkat lebih tinggi
Bernama
November 18, 2023 11:15 MYT
November 18, 2023 11:15 MYT
SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menggalakkan graduan untuk belajar sehingga tahap yang lebih tinggi dan tidak terhenti pada peringkat diploma dan ijazah sarjana muda sahaja.
Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) bertitah ilmu merupakan asas kepada pembentukan tamadun tinggi, malah mencari ilmu ialah perkara yang mulia di sisi Allah.
"Sehubungan dengan itu, budaya menimba ilmu perlu dirancakkan kerana Malaysia memerlukan problem solver (penyelesai masalah) dalam membantu negara menghadapi cabaran yang semakin kompleks," titah baginda pada hari pertama Istiadat Konvokesyen UiTM ke-98 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam hari ini.
Baginda bertitah sesebuah universiti juga seharusnya terus memperkasakan penyelidikan sebagai misi dalam memajukan ilmu pengetahuan, mendorong inovasi dan menangani cabaran masyarakat semasa.
"Bagi menggalakkan program penyelidikan dijalankan di institusi pengajian tinggi (IPT) terutama di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD), peluang untuk membuka kolaborasi dengan industri perlu dipertingkatkan," titah baginda.
Menurut Tengku Permaisuri Norashikin, industri boleh menjadi penyelia bersama untuk para graduan kerana pihak berkenaan boleh menyumbangkan idea yang mampu menyelesaikan masalah dalam industri sebenar.
Pada masa sama, baginda bertitah pihak universiti bukan sahaja perlu menekankan aspek akademik, malah penekanan harus diberikan juga kepada pembangunan bakat dan pembentukan sahsiah graduan.
"Suka saya tekankan, agar semua IPT seharusnya menyediakan program yang dapat membentuk pembangunan bakat dan sahsiah graduan secara langsung dengan dunia sebenar. Kita perlu memberi kepercayaan kepada pelajar untuk memanfaatkan kemahiran dan pengetahuan mereka kepada komuniti," titah baginda.
Terdahulu, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan Ijazah Doktor Falsafah dan Sarjana Kepakaran Perubatan kepada 125 graduan.
-- BERNAMA